Lapangan terbang, pelabuhan dibenar optimum tenaga kerja
PUTRAJAYA - Pihak berkuasa dan operator lapangan terbang serta pelabuhan dibenarkan untuk mengoptimumkan tenaga kerja bagi operasi mereka mengikut keperluan ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kebenaran itu diberikan bagi memastikan aktiviti import dan eksport tidak terjejas sepanjang tempoh tersebut.
"Kementerian Pengangkutan (MOT) menyambut baik keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengehadkan kapasiti tenaga kerja swasta sehingga 60 peratus, tetapi pada masa sama penghantaran barangan keperluan melalui penerbangan dan pelabuhan ke destinasi akhir seluruh negara juga perlu dipastikan tidak terjejas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, MOT bagaimanapun akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa bagi memastikan pergerakan penghantaran barangan serta kargo tidak terbantut sehingga menjejaskan rakyat selaku pengguna.
"Semua kakitangan di lapangan terbang dan pelabuhan turut diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti menggunakan cecair pembasmi kuman, memakai peralatan pelindung diri (PPE) yang bersesuaian, mengamalkan penjarakan sosial dan mengimbas kod QR MySejahtera sekiranya diperlukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!