Al-Qalam rai anggota polis, bomba sempena Aidilfitri
KLANG - Aidilfitri diraikan dengan penuh kemeriahan biarpun disambut sederhana berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Bagaimanapun, ia tidak bermakna pengorbanan petugas barisan hadapan terutama anggota polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bertugas pada Aidilfitri tahun ini dilupakan.
Bagi menghargai pengorbanan mereka, Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam Malaysia (Al-Qalam) menyampaikan sumbangan berupa makanan dan kuih raya kepada seramai 40 anggota polis dan bomba di sekitar kawasan Klang Utara di sini pada Isnin.
Presiden Al-Qalam, Datuk Seri Baharuddin Abu berkata, sumbangan itu bagi menzahirkan rasa terima kasih atas pengorbanan petugas hadapan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat ketika pandemik Covid-19 terjamin.
"Pengorbanan anggota polis dalam memastikan keamanan dan keselamatan kita sememangnya tanggungjawab dan amanah berat dipikul mereka. Mereka bertugas siang dan malam, kadangkala menerima kritikan daripada segelintir masyarakat. Namun semua itu tidak sesekali menghalang mereka menjalankan tugas yang digalas dengan baik.
"Begitu juga dengan anggota bomba. Seperti saya dimaklumkan, mereka ini bertugas untuk menjalankan sanitasi di pusat vaksin di kawasan yang dipertanggungjawabkan. Jadi tugas petugas barisan hadapan ini bukan sesuatu yang mudah," katanya ketika menyerahkan sumbangan makanan sempena Program Kasih Aidilfitri kepada petugas barisan hadapan di Balai Bomba Kapar, Meru di sini pada Isnin.
Beliau berkata, sumbangan disampaikan kepada 20 anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara serta 20 anggota bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Kapar, Meru.
"Makanan yang siap dimasak akan diagihkan selama sebulan. Kuih raya pula diberi secara ‘one-off’. Semoga sedikit sebanyak dapat memberi semangat kepada anggota bertugas,” katanya.
Tambah beliau, sumbangan tersebut juga hasil perkongsian rezeki daripada pesakit yang mendapatkan rawatan di pusat rawatan perubatan tradisional diusahakannya.
“Kami faham dalam tempoh PKP ini, banyak kedai makan yang ditutup. Sebagai bekas anggota polis, saya memahami tugas mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!