Tunjuk jarum suntikan kepada penerima vaksin Covid-19

Dr Adham Baba - Foto Bernama
Dr Adham Baba - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan penyuntik menunjukkan jarum suntikan yang telah diisi dengan vaksin Covid-19 mengikut kuantiti ditetapkan kepada penerima sebelum melakukan suntikan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) itu susulan dakwaan penerima disuntik dos vaksin AstraZeneca yang kurang daripada sepatutnya.

"Penyuntik juga perlu menunjukkan jarum suntikan yang telah dikosongkan kepada penerima vaksin selepas suntikan dibuat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, SOP tersebut akan diperluaskan ke semua pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara.

"KKM memandang serius dakwaan insiden yang berlaku di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu. ProtectHealth Corporation juga sedang membuat siasatan lanjut mengenai perkara tersebut," katanya.

Tambah Dr Adham, KKM akan sentiasa memastikan program pemberian vaksin AstraZeneca dilaksanakan dengan jaya dan selamat untuk semua penduduk Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!