Sembilan aduan berhubung majikan tidak benarkan bekerja dari rumah

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kategori baharu ‘Majikan Tidak Benarkan BDR’ yang diperkenalkan dalam aplikasi Working for Workers (WFW) mulai Ahad telah menerima sembilan aduan berhubung keengganan majikan membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kategori baharu itu diwujudkan setelah mengambil kira pengumuman kerajaan yang menetapkan 40 peratus pekerja sektor swasta dikehendaki bekerja dari rumah berkuat kuasa esok (25 Mei) bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

"Mana-mana pekerja yang dipaksa oleh majikan untuk hadir ke pejabat dan bercanggah dengan sekatan tambahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), diminta membuat aduan melalui aplikasi WFW ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi jabatan berkaitan di bawahnya akan menjalankan siasatan mengikut akta-akta tertentu di bawah kementerian itu berhubung aduan berkenaan.

Menurutnya, maklumat siasatan akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atau Kementerian Kesihatan (KKM) sekiranya terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) atau Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Aplikasi WFW diperkenalkan pada 3 Mei lalu sebagai platform kepada 15.7 juta pekerja termasuk warga asing mengemukakan aduan dan permasalahan berkaitan isu perburuhan dan kini terdapat 17 kategori dalam aplikasi WFW itu termasuk kategori terbaharu Majikan Tidak Benarkan BDR.

"Langkah mewujudkan kategori baharu di aplikasi dalam talian ini adalah inisiatif KSM untuk mengurangkan pergerakan dan kehadiran secara fizikal pekerja yang ingin membuat aduan di mana-mana Pejabat Tenaga Kerja," katanya.

Sementara itu, Saravanan berkata, aplikasi WFM telah merekodkan 178 aduan sehingga 23 Mei dengan 105 adalah aduan oleh rakyat tempatan dan selebihnya pekerja asing.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, negeri yang merekodkan jumlah aduan tertinggi adalah Kuala Lumpur dengan 75 kes, diikuti Selangor dengan 44 kes dan Johor (21 kes). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!