'Vida kenalah serius'
PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) berpendapat satu perbincangan secara khusus perlu dibuat jika usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman serius untuk mengambil alih Perak FC dalam masa terdekat.
Presidennya, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata, perbincangan berkenaan terarah kepada hala tuju pasukan selain turut membabitkan isu berbangkit yang melanda Perak FC.
"Setakat ini, beliau atau mana-mana pihak yang mewakili beliau sendiri belum lagi menghubungi atau menghantar sebarang permohonan rasmi membincangkan hal ini dengan pihak PAFA. Dengan pengurusan Perak FC kami tidak tahu (ada perbincangan).
"Di pihak PAFA bukan setakat beliau malah, mana-mana pihak lain yang berminat untuk ambil alih Perak FC pun dialu-alukan. Kita boleh duduk berbincang tentang perkara ini supaya ada kata putus yang memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Baru-baru ini, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida memberitahu, kos pengendalian dan perbelanjaan pasukan antara perkara yang masih dalam kajian usahawan kosmetik berasal dari Kelantan itu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menjadi pemilik baharu Perak FC.
Vida dalam kenyataan sama turut menegaskan perkara itu perlu diambil kira kerana ia melibatkan pelbagai perbelanjaan besar antaranya membabitkan gaji pemain sekali gus memerlukan pelaburan yang bijak untuk mewujudkan situasi menang-menang.
Selain itu, Muhammad Yadzan berkata beliau mengakui mana-mana pihak yang ingin menerajui Perak FC memikirkan pulangan atau kelebihan yang akan diperoleh namun ia perlulah seiring dengan visi untuk meningkatkan semula martabat pasukan.
"Mereka kena fikir bahawa keuntungan dalam menaja pasukan bola sepak ini bukan datang dalam sekelip mata. Jadi, tak boleh terburu-buru. Saya fikir kalau pengurusan serta strategi pemasaran itu dibuat dengan betul, insya-Allah, pasti akan bagi kelebihan kepada mereka," katanya.
Sementara itu, beliau berkata PAFA tidak mahu masuk campur berhubung keengganan Lembaga Pengarah Perak FC menerima keputusan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rizal Ali Naizali pada 10 Mei lalu.
Beliau berkata pendekatan seumpama itu diambil memandangkan ia tidak memberi sebarang nilai tambah kepada pengurusan PAFA.
"Kita masuk campur pun mereka tetap begitu. Lebih baik kita lihat sahaja. Cuma, seperti yang saya tegaskan sebelum ini, apa jua keputusan Rizal, soal gaji pemain yang tertunggak sebelum ini dia kena selesaikan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!