Malaysia, UAE bincang persiapan pusingan kelayakan

Hamidin (kanan) dan Sheikh Rashid (dua dari kanan) mengadakan pertemuan di Dubai pada Ahad.
Hamidin (kanan) dan Sheikh Rashid (dua dari kanan) mengadakan pertemuan di Dubai pada Ahad.
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Emiriah Arab Bersatu (UAE FA), Sheikh Rashid Humaid Al Nuaimi di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada Ahad.

FAM dalam kenyataan berkata, Hamidin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), telah mendapat jemputan makan tengah hari daripada Sheikh Rashid Humaid.

“Antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai gambaran serta informasi terkini persiapan UAE FA sebagai tuan rumah bagi baki perlawanan Kumpulan G, pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Stadium Zabeel dan Stadium Al Maktoum bermula 3-15 Jun ini,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Sesi itu turut disertai Naib Presiden Kanan UAE FA, Abdulla Naser Al Jneibi; Naib Presiden UAE FA, Yousif Hussain Al Sahlawi serta Setiausaha Agung UAE FA, Mohammed Abdulla Hazzam Aldhaheri.

Hamidin tiba di Dubai Khamis lalu bersama skuad Harimau Malaya, bagi persiapan akhir menjelang baki tiga aksi kelayakan bertemu UAE pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

Pada aksi pemanas badan malam tadi, Malaysia di bawah kendalian Tan Cheng Hoe tewas 4-1 kepada Kuwait di Stadium The Sevens, Dubai. Skuad itu seterusnya akan beraksi dalam perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Bahrain di Manama Jumaat ini.

Sementara itu, Hamidin dan Cheng Hoe turut diraikan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid, pada majlis jamuan tengah.

Majlis itu turut disertai oleh barisan kejurulatihan dan pegawai skuad Harimau Malaya serta pegawai Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai dan Kedutaan Besar Malaysia di Abu Dhabi.

Artikel Berkaitan:

“Pada majlis itu, Mohd Hasril menyampaikan ucapan selamat maju jaya kepada skuad Harimau Malaya dan mendoakan kejayaan dalam ketiga-tiga perlawanan kelayakan itu nanti,” menurut FAM. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!