Wabak berganda ancam India

Pesakit dijangkiti ‘fungus hitam’ hanya dapat diselamatkan dengan cara membuang sebelah mata mereka. - Foto: Agensi
Pesakit dijangkiti ‘fungus hitam’ hanya dapat diselamatkan dengan cara membuang sebelah mata mereka. - Foto: Agensi
A
A
A

NEW DELHI - Jumlah kematian Covid-19 di India pada Isnin melepasi 300,000 ketika negara ketiga di dunia paling teruk terjejas pandemik itu kini bergelut dengan wabak ‘fungus hitam’ di tengah-tengah gelombang ‘tsunami’ jangkitan virus itu yang masih belum reda.

Data Kementerian Kesihatan menunjukkan angka korban di negara Asia Selatan itu telah mencecah 303,720 selepas 50,000 kematian direkodkan dalam tempoh kurang dua minggu.

“Sebanyak 4,454 lagi kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam yang merupakan angka harian kedua tertinggi sejak 4,529 kematian dilaporkan pada Rabu lalu,” ujar kementerian terbabit.

Kebanyakan pakar bagaimanapun percaya angka korban sebenar adalah jauh lebih tinggi berikutan wabak itu telah merebak secara meluas di kawasan luar bandar.

India berdepan lonjakan kes kematian ketika kes jangkitan mula menurun di beberapa bandar utama termasuk New Delhi dan Mumbai yang masih melaksanakan langkah lockdown untuk membendung penularan wabak tersebut.

Dalam perkembangan lain, New Delhi merekodkan lebih 8,800 kes jangkitan jarang berlaku, ‘fungus hitam’ selepas ia didakwa menjangkiti pesakit Covid-19 dalam tempoh 12 hingga 18 hari setelah mereka sembuh.

Jangkitan mucormycosis yang mempunyai kadar kematian sebanyak 50 peratus turut menyaksikan pesakit hanya dapat diselamatkan dengan cara membuang sebelah mata mereka.

Para doktor percaya wabak itu adalah kaitan dengan steroid yang digunakan untuk merawat Covid-19 dan golongan penghidap diabetis adalah yang paling berisiko tinggi.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, negeri Gujarat dan Maharashtra telah merekodkan lebih separuh daripada kes jangkitan ‘fungus hitam’ tersebut manakala kira-kira 15 negeri lain melaporkan antara 800 dan 900 kes.Susulan peningkatan kes terbabit, 29 negeri di seluruh negara untuk mengisytiharkan ‘fungus hitam’ sebagai epidemik. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!