Bangkit kembali Sri Pahang FC
MUSIM 2021 menyaksikan perubahan besar buat skuad Tok Gajah dalam mengharungi Liga Super. Pertama sekali dengan perubahan nama hingga ditukar ke Sri Pahang FC, sekali gus membawa angin baharu buat pasukan itu.
Malah, Pahang turut tampil dengan jurulatih luar kelahiran Jerman,Thomas Dooley selaku ketua jurulatih dan Christophe Gamel selaku penolongnya selepas beberapa musim meletakkan kepercayaan terhadap bekas pengendali skuad kebangsaan, Dollah Salleh.
Sri Pahang juga menyenaraikan lima import iaitu Yevhen Bokhashvili dari Ukraine, Herold Goulon (Perancis), Lee Tuck (England), Mamadou Wague (Lubnan) dan Pedro Henrique (Timor Leste) bagi mengharungi musim 2021. Namun, entah apa badi menimpa, segalanya bagaikan serba tidak mengena buat Sri Pahang, beberapa episod kekalahan dan seri dilakar.
Berikutan aksi hambar dipamerkan, pada 13 Mac lalu, Dooley dan Gamel direhatkan, dan Dollah yang sebelum itu diberikan tanggungjawab sebagai pengurus Sri Pahang kembali mengambil alih tugas pengendali pasukan, namun ia masih belum membawa banyak perubahan.
Natijahnya, pasukan yang sebelum ini dihormati, selain antara pesaing kuat dalam liga sehingga pernah bergelar juara dreble dengan Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih dalam genggaman Tok Gajah pada 2014, pasukan itu terperosok ke tangga 11 dalam saingan liga sebelum ini.
Ketumpulan jentera serangan dilihat antara faktor kemerosotan prestasi Sri Pahang sehinggakan hanya mampu menghasilkan 16 jaringan dalam 13 perlawanan setakat ini. Bagi Pengerusi Kelab Penyokong, Laksamana Tok Gajah, Mohd Jusri Abd Kadir mengakui peminat Sri Pahang kecewa dengan aksi yang dipamerkan pasukan.
Menurutnya, situasi itu tidak wajar berlaku kerana reputasi Tok Gajah sebelum ini sering dilihat sebagai pesaing utama liga. Setakat ini, Tok Gajah hanya mampu melakar tiga kemenangan dan seri berbanding tujuh kekalahan selepas mengharungi 13 perlawanan.
Prestasi hambar itu sudah pasti menuntut perubahan drastik buat Sri Pahang. Ia direliasasikan dengan membawa empat pemain import baharu pada perpindahan jendela pemain yang dibuka pada Mei. Pemain itu ialah Aung Kaung Mann dari Myanmar, Manuel Hildago (Argentina), Abubakar Yakubu (Ghana) dan Kenny Anthiu (Australia).
Ternyata kemasukan mereka menampakkan sedikit sinar. Walaupun baru menyertai pasukan tersebut, kehadiran pemain import baharu menyuntik aura kepada jentera serangan dengan jaringan dilakar Hidalgo pada aksi menentang Selangor dan dua gol oleh Anthiu dan satu lagi menerusi Kaung Mann ketika berdepan Perak, selain penyerang tempatan, Malik Ariff turut tidak ketinggalan mencetak jaringan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang sebelum ini mengharapkan kehadiran empat import berkenaan dapat membantu memulih kembali prestasi pasukan. Elemen pemain import perlu diambil serius dan sewajarnya menjadikan ia satu pengajaran berguna buat Sri Pahang.
Entah beberapa kali episod pemain import pernah mewarnai pasukan itu, antaranya kehadiran penyerang kelahiran Ghana, Nana Yaw pada musim 2012 sehingga menjadi modal jenaka peminat Tok Gajah, selain beberapa import lain, antaranya penyerang dari Macedonia, Nikolche Klechkaroski.
Penulis sendiri walaupun tidak lagi berpeluang membuat liputan pasukan kesayangan tetap berusaha mengintai Sri Pahang. Impak Covid-19 nyata memberi kesan dalam saingan liga sehinggakan kemeriahan tersebut kian pudar.
Dengan saingan liga direhatkan bagi memberi ruang buat skuad kebangsaan, diharap Sri Pahang menggunakan ruang yang ada untuk terus memantapkan jentera pasukan mengharungi baki perlawanan.
Pahang kini kembali memanjat saingan liga menghuni di tangga kesembilan selepas 13 perlawanan dengan mengumpul 12 mata setakat ini. Peminat meletakkan harapan tinggi supaya keputusan lebih baik dicapai pada musim 2021 selepas sekadar meraih tempat kelapan pada musim 2020. Biarpun gelaran juara liga mustahil untuk dicapai, Sri Pahang harus kembali mempamerkan taringnya dan semangat Hogoh Tok Gajah Hogoh tidak wajar lenyap begitu sahaja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!