Jual lembu korban secara online
KUALA LANGAT - Selaras perlaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat mengambil keputusan untuk memasarkan lembu korban secara digital menerusi laman sesawang, qurbanpeladang2u.my.
Menurut Pengerusi PPK Kuala Langat, Dr Abdul Razak Khasbullah, pemilihan ternakan dan pembayaran semuanya dilakukan dalam talian melalui laman sesawang yang dilancarkan baru-baru ini.
"Seterusnya proses perkhidmatan penyembelihan, melapah dan membungkus akan dijalankan di rumah penyembelihan pada Hari Raya Aidiladha nanti.
"Cabaran untuk melakukan ibadah korban ini semua, bermula sejak tahun lepas, di mana negara dikejutkan dengan pandemik Covid-19 Selaras prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan, ibadah korban hanya boleh dilakukan di rumah penyembelihan sahaja berbanding tahun sebelumnya di masjid dan surau," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di ladang lembu milik ahli PPK Kuala Langat, Muhammad Faiz Harol Hisham di Permatang Pasir Jugra pada Isnin.
Beliau berkata, tujuan utama pendaftaran melalui qurbanpeladang2u.my tersebut adalah bagi memudahkan umat Islam yang masih ingin berkorban dalam era PKP ini melakukan urusan pembelian lembu korban tanpa perlu bersemuka dengan pemilik lembu.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya telah menyediakan beberapa rumah penyembelihan yang terletak di kawasan ternakan lembu milik ahli-ahlinya di Kampung Endah, Tanjung Sepat dan di Pulau Nyatoh, Banting.
"Aktiviti korban akan dilakukan di rumah penyembelihan dan hanya peserta korban sahaja dibenarkan hadir pada hari penyembelihan selaras SOP ditetapkan pihak berkuasa.
"Daging yang disembelih akan dibawa balik oleh peserta seperti Ahli Jawatan Kuasa (AJK) masjid dan surau untuk proses pengagihan,"katanya.
Jelasnya lagi, PPK Kuala Langat telah bergiat aktif dalam mengendalikan ibadah korban bagi pasaran sekitar Kuala Langat sejak tahun 2011 bermula dengan 20 ekor pada 2011 dan telah berkembang kepada 2000 ekor pada 2019.
Beliau menambah, semasa pandemik Covid-19 tahun lalu, tempahan hanya 1,200 ekor dan tahun ini pihaknya menyasarkan sebanyak 2,000 ekor untuk pasaran dengan harga seekor RM5,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!