Insiden LRT: Mangsa terpelanting akibat impak kuat kerana pelanggaran

Antara penumpang yang mengalami kecederaan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) terlibat dalam kemalangan berhampiran stesen KLCC dibawa keluar untuk dihantar ke hospital malam Selasa. - Foto Bernama
Antara penumpang yang mengalami kecederaan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) terlibat dalam kemalangan berhampiran stesen KLCC dibawa keluar untuk dihantar ke hospital malam Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi tren berdekatan Stesen LRT KLCC di sini awal malam Isnin, dipercayai berhenti selama 15 minit dan bergerak semula selama beberapa saat sebelum berlanggar.

Menceritakan kejadian mencemaskan itu, Afiq Luqman Mohd Baharudin, 27, berkata, perlanggaran tersebut mengakibatkan para penumpang terpelanting dan terjatuh.

"Sewaktu kejadian, tren menghampiri KLCC dan saya nak ke Ara Damansara.

"Kemalangan berlaku di laluan bawah tanah berhampiran KLCC dan impaknya sangat kuat, mengakibatkan ramai penumpang yang sedang duduk dan berdiri terpelanting,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Afiq Luqman berkata, sebelum kejadian, tren berkenaan berhenti selama 15 minit sebelum bergerak semula.

"Tidak sampai 10 saat bergerak berlaku pelanggaran," katanya, menambah kejadian itu menyebabkan dia mengalami kecederaan di kepala, kaki kiri dan dada.

Menurutnya, tidak lama selepas kejadian, pasukan keselamatan tiba dan mengeluarkan kesemua penumpang termasuk dirinya yang kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, pemerhatian Bernama mendapati beberapa mangsa berkongsi detik cemas insiden berkenaan menerusi laman media sosial.

Artikel Berkaitan:

Antaranya, pengguna Twitter Lim Mahfudz yang berkongsi video dan gambar kemalangan yang dirakamnya sendiri.

"Keseluruhan video ini saya rekod sendiri dan saya baik-baik saja, tidak mengalami sebarang kecederaan. Syukur kepada Tuhan kerana melindungi saya. Bagi saya, kejadian ini adalah satu tragedi dan satu mimpi ngeri yang benar-benar berlaku dalam hidup saya," kongsi Lim Mahfudz.

Katanya, ada penumpang cedera akibat terkena serpihan cermin tingkap tren yang pecah dan ada yang terpelanting selepas tren itu berhenti secara mengejut. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!