'Terpelanting sebelum jatuh, cedera di dahi, mulut'

Haikal mengalami kecederaan di dahi dan mulut selepas terlibat dalam insiden kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya berdekatan Stesen LRT KLCC pada Isnin malam.
Haikal mengalami kecederaan di dahi dan mulut selepas terlibat dalam insiden kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya berdekatan Stesen LRT KLCC pada Isnin malam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita tidak menyangka anak sulungnya terlibat dalam insiden kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya berdekatan Stesen LRT KLCC pada Isnin malam.

Menurut ibu mangsa, Rozila Yusoff, 43, dia menerima berita tersebut daripada teman wanita anaknya sekitar jam 8.45 malam.

Katanya, lebih mengejutkan apabila mendapat tahu anak lelakinya, Rizaril Haikal, 21, terpelanting di dalam tren berkenaan sebelum jatuh dan cedera di bahagian dahi serta mulut.

“Saya memang terkejut dan hilang kata-kata. Kawan anak saya yang beritahu (Haikal) terlibat dalam insiden ini.

“Saya kemudian bergegas ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana dimaklumkan anak saya akan menerima rawatan di sini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Bercerita lanjut, ibu kepada lima orang anak itu berkata, dia sempat berjumpa dengan Haikal kira-kira jam 10 malam tadi sebelum dibawa masuk ke ruang kecemasan bagi menerima rawatan lanjut.

Rozila Yusoff
Rozila Yusoff

“Saya tengok muka anak saya dipenuhi darah selain terdapat kesan calar pada muka dan bibirnya pecah.

Artikel Berkaitan:

“Tak sampai dua minit saya bercakap dengan anak saya, pembantu perubatan terus membawanya masuk,” luahnya dengan nada sebak.

Tambah Rozila, anaknya baharu sahaja pulang dari kerja di KLCC sebelum menaiki LRT di Stesen KLCC menuju ke LRT Pasar Seni untuk membuat pertukaran perjalanan ke Damansara Damai.

Dalam kejadian pada jam 8.45 malam Isnin, seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya cedera parah akibat pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya yang berlaku di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru melibatkan satu tren yang membawa penumpang serta sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.

Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Foto dan video berhubung insiden itu tular di media sosial memaparkan ada sebahagian penumpang LRT berkenaan yang dilihat cedera, terduduk, terbaring, malah ada yang dilihat berlumuran darah.

Insiden disifatkan serius itu merupakan kejadian yang pertama berlaku melibatkan tren LRT sepanjang 23 tahun beroperasi di negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!