Penamat gemilang Aguero

Aguero dijulang rakan-rakan sepasukannya di Stadium Etihad pada Ahad.
Aguero dijulang rakan-rakan sepasukannya di Stadium Etihad pada Ahad.
A
A
A

SERGIO Aguero mengakhiri musim terakhir bersama Manchester City penuh bergaya apabila menyumbat dua gol bagi membantu kemenangan 5-0 ke atas Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad pada Ahad.

Aguero yang bakal meninggalkan City pada penghujung musim kini dianggap antara legenda kelab Inggeris berkenaan apabila mendakap 12 trofi termasuk lima gelaran EPL sepanjang 10 tahun mewakili The Citizens.

Lebih manis, Aguero yang hampir pasti menyertai kelab gergasi Sepanyol, Barcelona musim depan tampil dengan status sebagai penjaring terbanyak City sepanjang zaman apabila merekodkan 260 gol.

Malah, penyerang antarabangsa Argentina itu boleh mendabik dada apabila mengatasi pencapaian bekas penyerang sensasi Manchester United, Wayne Rooney yang merekodkan 183 gol.

“Sejujurnya, saya gembira dengan setiap kejayaan yang dilakar Manchester City kerana sesungguhnya ia satu penghargaan. Ini kerana bukan sesuatu yang mudah untuk berada selama 10 tahun dengan sesebuah kelab.

“Sebelum aksi menentang Everton hari ini, perasan saya tidak seperti sebelum ini. Namun saya cuba berfikiran positif dengan mengimbau detik-detik manis bersama kelab ini.

“Saya gembira kerana akhirnya dapat menyumbang sesuatu pada aksi terakhir liga apabila menjaringkan dua gol. Ini sudah tentu menjadi antara detik istimewa dalam karier saya,” kata Aguero.

Pengurus City, Pep Guardiola pula menyifatkan bekas penyerang Atletico Madrid itu sebagai pemain istimewa sepanjang 10 tahun membawa cabaran bersama The Citizens.

Artikel Berkaitan:

“Sergio banyak membantu saya sejak saya menjadi pengurus kelab ini. Jujur saya katakan, kelab ini tidak mempunyai penggantinya. Kami ada ramai pemain berbakat tetapi tiada pemain yang mampu menggantikan tempatnya.

“Apa yang boleh saya katakan, Sergio sememangnya dilahirkan untuk kelab ini. Sepanjang 10 tahun Sergio berada di sini, dia telah membentuk banyak perubahan positif sehingga kami berjaya menjadi kelab terhebat.

“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepadanya. Segala pengorbanan dan tenaga yang dicurahkan kepada kelab ini amat kami hargai. Ini pengakhiran yang cukup sempurna buat Sergio,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!