Sedania luas pasaran produk Offspring Inc di empat negara

Azrin Mohd Noor
Azrin Mohd Noor
A
A
A

SHAH ALAM - Sedania Innovator Berhad (Sedania) menerusi anak syarikatnya Offspring Inc pada Selasa mengumumkan pasaran baharu bagi produknya yang akan mula dijual di Sepanyol, Finland, Kemboja dan Korea.

Pengarah Urusannya, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, langkah tersebut akan memperluaskan lagi kehadiran syarikatnya di peringkat global di samping meningkatkan lagi aktiviti eksport di negara yang sudah menerima produknya seperti Amerika Syarikat, Singapura, Brunei, Filipina, dan Rusia.

Beliau berkata, rakan perniagaannya di negara terbabit turut melahirkan keterujaan mereka selepas menerima kebenaran untuk mengedarkan produk Offspring Inc.

“Offspring akan tersedia di rangkaian kedai yang khusus di negara masing-masing dengan pemantauan rapi pasukan di ibu pejabat kami yang merupakan sebahagian daripada program komprehensif pengedaran antarabangsa yang telah dimulakan.

“Selain itu, beberapa negara juga menggunakan platform membeli-belah dalam talian yang terkenal seperti Lazada, Shopee dan Amazon untuk mengembangkan lagi jangkauan pasaran mereka.

“Kami juga menerima pesanan antara yang tertinggi dari Korea Selatan sekali gus menjadikan ia sebagai permintaan paling tinggi direkodkan bagi pasaran baharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Azrin berkata, penyelidikan pasaran yang dilakukan mendapati bahawa kadar kelahiran tahunan di negara yang terbabit masing-masing dianggarkan mencecah hampir 1.2 juta kelahiran bayi baharu setiap tahun.

Sehubungan itu, beliau berkata, ia menjanjikan prospek yang cerah buat syarikatnya untuk menjadi jenama produk bayi yang organik dan premium di negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Setiap bayi menukar lampin mereka antara tiga hingga 10 kali sehari setiap hari dan mereka pada masa sama juga menggunakan tisu, lampin, losen dan sabun untuk seluruh badan.

“Kita gembira sekiranya mereka terus menggunakan produk Offspring Inc,” ujarnya lagi.

Offspring Inc yang dimiliki oleh Sedania melalui pemilikan kepentingan sebanyak 51 peratus merupakan syarikat teknologi kesihatan yang memberi tumpuan kepada penyelesaian penjagaan awal kanak-kanak melalui penghasilan produk organik bayi berkualiti tinggi.

Azrin berkata, antara produk yang ditawarkan Offspring Inc yang merupakan antara pelopor pengeluar produk berasaskan bahan organik di rantau ini adalah lampin bayi mesra alam, tisu basah terbiodegradasikan, keperluan penjagaan bayi dan produk rumah tangga tanpa menggunakan bahan toksik.

"Kami bangga untuk dilihat sebagai ikon antarabangsa bagi produk organik berkaitan bayi. Aspirasi utama kami di peringkat tempatan mahupun global adalah untuk menyediakan produk terbaik, berkesan dan paling selamat bagi bayi yang baru lahir.

“Aspirasi ini merupakan penggerak utama dalam memastikan kehadiran kami di pasaran antarabangsa. Memasuki pasaran di Sepanyol dan Finland setelah kejayaan di Rusia menyediakan kelebihan persaingan buat kami di dalam pasaran Eropah,” katanya.

Azrin menambah, syarikatnya juga kini dilengkapi dengan pemahaman yang lebih mendalam mengenai sikap pengguna di Eropah yang lebih matang berbanding pengguna di rantau lain dalam penerimaannya terhadap produk organik dan mesra alam.

“Mereka sedar kepentingan penggunaan produk bahan selamat dan organik, terutama pada bayi baru lahir. Oleh itu, adalah lebih mudah untuk kami mendidik pengguna di dalam pasaran tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azrin turut memaklumkan bahawa Offspring Inc telah disenaraikan sebagai 10 produk lestari teratas oleh sebuah majalah terkemuka di Filipina bersempena dengan Hari Bumi Antarabangsa baru-baru ini.

Dalam wawancara bersama majalah tersebut, beliau berkata, produk Offspring Inc terbukti merupakan produk yang dipercayai dan menjadi pilihan dalam kalangan ibu bapa moden di Filipina yang mementingkan kesihatan dan keselamatan bayi serta prihatin terhadap bumi kerana ia didapati diterima dengan cepat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!