Kerajaan jangka pertumbuhan KDNK 7.5 peratus dapat dicapai

Mustapa Mohamed - Foto Bernama
Mustapa Mohamed - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Kerajaan menjangkakan ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 6.0 hingga 7.5 peratus dapat dicapai sekiranya krisis kesihatan Covid-19 ini dapat distabilkan selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, prestasi yang baik ini adalah selaras dengan kadar pertumbuhan KDNK pada Mac 2021 sebanyak 6.0 peratus.

“Sekiranya kerajaan memutuskan untuk melaksanakan ‘total lockdown’ bermula pada Selasa hingga 7 Jun ini seperti yang berlaku dalam tempoh PKP 1.0, momentum pertumbuhan ini akan terjejas,” katanya pada sidang akhbar Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan yang diadakan secara maya pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menjelaskan lebih lanjut, Mustapa turut menyenaraikan beberapa faktor yang akan menentukan kadar pertumbuhan tersebut.

Beliau berkata, antara faktor kadar pertumbuhan itu dapat dicapai adalah kadar vaksinasi kepada rakyat dan ketersediaan vaksin terbabit.

“Kalau kita andaikan bahawa peratusan rakyat Malaysia disuntik mengikut jadual dan dapat dipercepatkan serta keadaan Covid-19 dapat dikawal, sudah pasti ini akan memberi kesan positif kepada kedudukan ekonomi Malaysia,” katanya.

Selain itu, Mustapa berkata, faktor lain adalah bergantung kepada kedudukan ekonomi dunia.

Artikel Berkaitan:

“Inilah faktor-faktor yang akan menentukan keadaan ekonomi kita tahun ini.

"Kalau kita berjaya mengawal dan mengurangkan kadar Covid-19 positif dan kadar vaksinasi ini dapat kita percepatkan, maka kita yakin kita dapat mencapai kadar pertumbuhan seperti mana yang kita telah jangkakan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu Mustapa berkata, semasa libat urus beliau bersama wakil industri, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta persatuan-persatuan penjaja pada Sabtu dan Ahad lalu, sebahagian besar daripada mereka bersetuju dengan keputusan kerajaan melaksanakan PKP 3.0.

“Kerajaan perlu sentiasa mengimbangkan antara nyawa dan kehidupan. Keputusan untuk melaksanakan PKP 3.0 dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat adalah tepat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!