Dua kapal dagang ditahan, pindah minyak secara haram
KEMAMAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kemaman menahan dua kapal dagang yang sedang melakukan pemindahan minyak secara haram dari kapal ke kapal di sekitar perairan Pelabuhan Kemaman, di sini pada Isnin.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, kedua-dua kapal tersebut ditahan sekitar jam 11.30 pagi di sekitar 3.4 batu nautika dari Kuala Kemaman ketika bot ronda Maritim Malaysia melakukan rondaan rutin di sekitar perairan Terengganu.
"Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal sedang melakukan pemindahan minyak secara ‘Ship To Ship’ (STS) tanpa kebenaran yang sah.
"Kedua-dua kapal itu seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut. Kesemua kru kapal berusia antara 22 hingga 61 tahun memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Katanya, Maritim Malaysia memandang serius perkara ini dan sentiasa meningkatkan pemantauan ke atas kapal-kapal yang bersauh di perairan negara ini bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi undang-undang negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!