KPWKM akan kenal pasti punca warga emas tolak vaksin Covid-19

Rina (kanan) diiringi Mohd Rafiq bertanyakan sesuatu kepada seorang warga emas yang juga penghuni Rumah Seri Kenangan Cheng, yang telah menerima vaksin pada Selasa.
Rina (kanan) diiringi Mohd Rafiq bertanyakan sesuatu kepada seorang warga emas yang juga penghuni Rumah Seri Kenangan Cheng, yang telah menerima vaksin pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengenal pasti faktor yang menyebabkan sebahagian warga emas di Kelantan gagal hadir menerima suntikan vaksin.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ini termasuk menggerakkan sukarelawan di bawah Jabatan Kebajikan masyarakat (JKM) dan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan usia Emas dan Majlis Pusat Kebajikan Malaysia.

Menurutnya, usaha itu penting bagi membantu golongan berkenaan sama ada mereka menolak untuk menerima vaksin atau mempunyai faktor lain seperti masalah kesihatan.

"Kesedaran vaksinasi akan diteruskan. Kita ada sukarelawan yang digerakkan supaya dapat menyampaikan maklumat yang benar.

"Peranan ketua masyarakat perlu supaya dapat melipatkan ganda usaha menyebarkan keperluan mengambil vaksin," katanya ketika meninjau program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Rumah Seri Kenangan Cheng di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Burhanuddin Bachik.

Sementara itu, Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa menyelar dakwaan bahawa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tidak memberi perhatian kepada warga emas di pusat jagaan orang tua seluruh negara.

Rina menegaskan setakat ini, sekurang-kurangnya seramai 652 orang penghuni warga emas di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mendapat suntikan dos pertama vaksin berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, berdasarkan data seramai 180,933 daripada 1.86juta warga emas yang berdaftar telah lengkap menerima kedua-dua dos vaksin Covid-19 menerusi program berkenaan manakala 693,065 orang warga emas telah menerima dos pertama vaksin.

Katanya, kerajaan bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) Covid-19 sentiasa memberi tumpuan khusus kepada warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) melalui Program PICK.

Mengulas lanjut, beliau berkata di pusat jagaan seperti ini JKM telah mengambil tindakan pergi ke setiap pusat jagaan dan memantau dari semasa ke semasa.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kashthuri Patto sebelum ini menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk bertindak segera susulan wujud dakwaan Program PICK mengabaikan warga emas di pusat jagaan orang tua.

Pada program yang berlangsung selama dua hari sehingga esok itu, kesemua 162 orang penghuni mula menerima suntikan dos pertama menerusi program PICK.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!