Apa yang berlaku tidak dirancang: Nana Mahazan
PENGACARA Nana Mahazan mengakui kini kembali aktif dalam bidang seni setelah beberapa ketika menumpukan perhatian kepada rumah tangga dan membesarkan dua cahaya mata.
Bagaimanapun, kata Nana atau nama lengkap Nurul Hana Che Mahazan, apa yang berlaku tidak dirancang, sebaliknya tawaran demi tawaran diterima sehingga jadual kerja penuh sepanjang tahun.
“Selepas berkahwin dan bergelar ibu, saya memang berehat seketika daripada dunia seni kerana mahu memberikan perhatian kepada rumah tangga dan membesarkan sendiri anak-anak.
“Bila anak dah besar sikit, barulah saya OK untuk bekerja. Pada mulanya hanya ambil tawaran yang kecil sahaja, tetapi tidak sangka pula selepas itu tawaran demi tawaran datang.
“Sedar tak sedar, sepanjang tahun lalu saya memang sibuk dengan pelbagai tugas pengacaraan termasuklah program Pop TV, Mentor 7 dan beberapa program lain,” jelasnya.
Meskipun lama tidak muncul di kaca TV, kata Nana, dia cukup terharu dengan penerimaan peminat.
Begitu juga dengan beberapa stesen TV yang masih memberi kepercayaan untuk bekerjasama dengannya.
“Alhamdulillah walaupun sebelum ini saya lama berehat, tetapi orang masih ingat dan terima saya. Sebenarnya terkejut juga dengan respon yang diberikan, tetapi dalam masa yang sama jadi bersemangat untuk kembali bekerja macam dulu.
“Tahun 2018 menjadi tahun paling sibuk buat saya selepas kembali aktif dan saya anggap semua ini rezeki.
“Saya tidak ada apa-apa perancangan atau menetapkan sasaran tertentu untuk tahun 2019 ini, cuma saya akan teruskan apa yang telah ada ini dengan sebaiknya,” katanya yang turut menerima pencalonan awal dalam Anugerah MeleTOP Era menerusi kategori Fesyen MeleTOP.
Tidak mahu berlakon
Terkini Nana merupakan pengacara untuk program Pesona Pengantin yang kini disiarkan di Astro Ria dan program game show, Jangan Buat Hal di Astro Warna.
Menurut ibu kepada dua anak ini lagi, bertepatan dengan personalitinya yang suka bercakap, dia begitu meminati dunia pengacaraan.
Meski turut mendapat tawaran dalam bidang lakonan, Nana menganggap dirinya tiada bakat dalam tersebut.
“Pernahlah dulu berlakon sikit, tetapi saya harus akui tiada bakat dalam lakonan. Saya pernah berjanji untuk tidak berlakon lagi kerana rasa itu bukan bidang saya.
“Bukan sebab merajuk atau apa, tetapi sedar diri lakonan saya sangat ‘kayu’. Tak payah orang cakap, sebab saya sendiri tahu. Jadi saya banyak menolak tawaran berlakon.
“Esok-esok tak tahulah, tetapi buat masa ini saya rasa lebih baik hanya buat pengacaraan sahaja kerana itu memang bidang saya,” akui Nana jujur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!