202kg ganja dipercayai untuk pasaran Kedah, Perlis dirampas

Ketulan ganja yang dirampas dalam serbuan di Changlun dan Bukit Kayu Hitam pada Sabtu lalu.
Ketulan ganja yang dirampas dalam serbuan di Changlun dan Bukit Kayu Hitam pada Sabtu lalu.
A
A
A

ALOR SETAR – Polis merampas lebih 202 kilogram (kg) dadah jenis ganja dalam dua serbuan ke atas sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di Changlun dan Bukit Kayu Hitam, Kedah pada Sabtu lalu yang dipercayai untuk pasaran negeri Kedah dan Perlis.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, operasi pembanterasan tersebut dilakukan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Kedah.

Menurutnya, dalam serbuan pertama, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun ditahan di hadapan sebuah kereta jenis Proton Inspira berwarna merah di sebuah pasar raya di Changlun pada jam 1.45 petang.

“Pemeriksaan di dalam but kereta menjumpai enam guni putih berisi 20 ketulan berbalut dengan kertas kuning keemasan dan plastik lutsinar yang berisi mampatan dedaun kehijauan disyaki dadah jenis ganja dengan berat anggaran lebih 121 kg.

“Serbuan kedua pula dilakukan pada kira-kira jam 3 petang di sebuah rumah di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam dan pemeriksaan di dalam bilik menjumpai empat guni warna putih berisi 81 ketulan disyaki dadah ganja dengan berat anggaran lebih 80 kg,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media IPK Kedah pada Selasa.

Mohd Roze (dua dari kiri) menunjukkan ketulan ganja yang dirampas dalam serbuan di Changlun dan Bukit Kayu Hitam pada Sabtu lalu.
Mohd Roze (dua dari kiri) menunjukkan ketulan ganja yang dirampas dalam serbuan di Changlun dan Bukit Kayu Hitam pada Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Roze berkata, seorang lagi suspek warga tempatan berusia 30 tahun ditahan dalam serbuan di hadapan rumah di Kampung Melayu, Padang Besar, Perlis pada sebelah malam pada hari yang sama.

Jelasnya, nilai keseluruhan rampasan dadah jenis ganja itu dianggarkan sebanyak RM506,635 dan kedua-dua suspek tersebut direman bermula 22 Mei hingga 27 Mei untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

“Suspek pertama mempunyai tiga rekod jenayah dan ujian air kencing pula mendapati positif dadah jenis syabu manakala suspek kedua tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian air kencing adalah negatif dadah.

“Dalam serbuan ini, polis juga menyita sebuah kereta jenis BMW dan sebuah kereta jenis Ford Ranger dengan nilai sitaan sebanyak RM130,000," katanya.

Menurut Mohd Roze, pihaknya percaya kedua-dua suspek mempunyai hubung kait di antara satu sama lain dalam aktiviti penyeludup dan pengedaran dadah tersebut.

“Dadah jenis ganja ini dipercayai datang dari negara jiran dan polis sedang mengenal pasti laluan yang digunakan untuk membawanya masuk ke negara ini.

“Laluan tikus ini banyak namun secara terperinci kes ini masih dalam siasatan kami. Namun ada kemungkinan mereka menggunakan laluan jalan laut kerana negara kini sedang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan banyak sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!