Kehadiran penerima vaksin di Marang capai hampir seratus peratus

Tun Ahmad Faisal
Tun Ahmad Faisal
A
A
A

MARANG - Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa 2 daerah Marang mencapai tahap 98.3 peratus kehadiran penerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Razak berkata, setakat ini 4,000 warga emas dan golongan berisiko tinggi sudah disuntik dengan kehadiran mencecah 100 peratus setiap hari.

“23 Mei lalu merupakan hari pertama vaksin jenis Sinovac diberikan kepada penerima dan hasil pemerhatian, semua penerima berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami simptom atau kesan yang teruk.

“Kesemua penerima dilaporkan dalam keadaan yang sihat dan dapat meneruskan aktiviti harian seperti biasa setelah menerima suntikan vaksin ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa.

Menurut Tun Ahmad Faisal, penerima vaksin Sinovac di Marang dijangka mencecah 300 orang setiap hari bermula Ahad lalu dan suntikan diberikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Marang bertempat di Dewan Utama Majlis Daerah Marang.

Beliau turut berharap semua penduduk daerah ini terutama berusia 18 tahun ke atas mendaftarkan diri masing-masing sebagai penerima vaksin Covid-19 bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijangka berakhir Februari depan.

“Penting bagi semua lapisan masyarakat menerima suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan kepada penularan Covid-19 yang semakin meningkat pada masa kini di negara kita khususnya di Terengganu dan Marang.

“Sekiranya masyarakat sedar akan kepentingan vaksin ini, maka objektif suntikan vaksin bagi memastikan imuniti kelompok untuk mengurangkan kes penularan Covid-19 di negara kita dapat dicapai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Tun Ahmad Faisal yang merupakan Pegawai Daerah Marang juga mengucapkan penghargaan kepada pelbagai pihak kerana bermurah hati memberi sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan di PPV Marang.

“Hampir setiap hari PPV menerima sumbangan makan tengah hari, ini memberi gambaran kecaknaan masyarakat terhadap peranan yang dimainkan oleh barisan petugas hadapan dalam menjaga kesihatan dan keselamatan orang ramai,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!