Gerhana bulan penuh ‘Super Flower Blood Moon’ Rabu ini

Fenomena gerhana bulan penuh ‘Super Flower Blood Moon’ boleh disaksikan rakyat Malaysia pada Rabu.
Fenomena gerhana bulan penuh ‘Super Flower Blood Moon’ boleh disaksikan rakyat Malaysia pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat negara ini berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh 'Super Flower Blood Moon' yang dijangka bermula pada petang dan berakhir malam Rabu ini.

Menurut perkongsian Agensi Angkasa Malaysia melalui akaun Facebook rasminya, pada 26 Mei ini bulan akan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan bumi (perigee) dengan jarak 357,309 kilometer.

Sementara itu, Planetarium Negara pula akan memaparkan imej gerhana bulan penuh 'Super Flower Blood Moon' secara maya di akaun media sosial Facebooknya dan YouTube Planetarium Negara.

Planetarium Negara dalam kenyataannya bagaimana berkata, kemudahan teleskop tidak akan dibuka untuk orang awam di Planetarium Negara kerana situasi negara yang sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Oleh kerana negara masih dalam tempoh PKP, orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengikuti penstriman langsung (live streaming) fenomena gerhana bulan penuh 'Super Flower Blood Moon' melalui media sosial Facebook dan Youtube Planetarium Negara," kata kenyataan pada Selasa.

Planetarium Negara turut melampirkan jadual bagi mengikuti penstriman secara langsung bermula jam 6.30 petang diikuti lintas langsung pada jam 7.30 malam dari Balai Cerap Planetarium Negara.

Sesi perkongsian serta ulasan akan dikendalikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Pencerapan Planetarium Negara, Mohd Zamri Shah Mastor sehingga jam 9 malam.

Penstriman secara langsung itu dijangka berakhir pada jam 10 malam.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di laman Facebooknya turut berkongsi mengenai fenomena tersebut dan memaklumkan gerhana berkenaan akan mula kelihatan di ufuk timur selepas terbenamnya matahari atau selepas Maghrib.

"Gerhana ini akan berakhir pada jam 8.52 malam dan seluruh umat Islam disyariatkan untuk mendirikan solat sunat gerhana bulan (solat sunat Khuduf) selepas solat fardu Maghrib," kata kenyataan pejabat mufti berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!