Pusat kasino Genting Highlands ditutup sepenuhnya
KUANTAN - Pusat kasino di Genting Highlands disahkan telah ditutup sepenuhnya.
Ketua Polis Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, polis telah melakukan pemeriksaan di pusat berkenaan kira-kira jam 11 malam tadi bagi memastikan pengendali pusat kasino berkenaan menutup operasinya selaras dengan arahan Kementerian Kewangan Malaysia.
"Mereka akur dengan arahan penutupan yang diberikan," katanya menerusi kenyataan di sini pada Selasa.
Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan penutupan telah dikeluarkan kepada pengurusan Genting pada Jumaat lepas selepas dimaklumkan operasinya masih berjalan.
Pada 7 Mei lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat kluster baharu di Kedah yang berpunca daripada aktiviti pelancongan dari Alor Setar yang mengunjungi Genting Highlands pada April lepas menggunakan perkhidmatan syarikat pelancongan berdaftar.
Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan meminta orang ramai membantu polis dengan membuat aduan jika terdapat ketidakpatuhan berhubung sekatan tambahan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula hari ini.
Ini termasuk pematuhan jumlah kehadiran dan waktu operasi di pejabat oleh syarikat dan industri yang dibenarkan beroperasi dari tempat kerja sepanjang tempoh PKP 3.0.
"Kita akan merahsiakan identiti pengadu dan aduan tanpa nama juga akan disiasat. Mereka hanya perlu menghubungi bilik gerakan sama ada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau Pusat Khidmat Operasi Bencana (PKOB) daerah," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!