Abang Malik Gold Car tumpas

Shafien (tengah) menunjukkan emas yang dicuri kumpulan suspek geng Gold Bar dan kemudian dileburkan.
Shafien (tengah) menunjukkan emas yang dicuri kumpulan suspek geng Gold Bar dan kemudian dileburkan.
A
A
A

KOTA BHARU - Ketua geng pecah rumah Gold Car dikenali sebagai Malik bersama enam konconya yang aktif melakukan rompakan emas dan kereta di sekitar Terengganu serta Kelantan ditumpaskan polis dalam tangkapan antara April sehingga awal Mei lalu.

Lelaki berusia 35 tahun dari Wakaf Bharu, Tumpat itu ditahan bersama enam rakan jenayah yang berusia 20-an hingga 40-an.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, geng terbabit lengkap yang mana empat daripada mereka yang bertindak sebagai pelaku manakala selebihnya pula pembeli barangan hasil kegiatan rompakan yang dilakukan.

Katanya, modus operandi geng itu memecah masuk rumah mangsa dan mencuri barangan kemas serta melarikan kereta menggunakan kunci yang diperoleh dari dalam rumah mangsa.

“Ada 27 kes melibatkan 24 di Kota Bharu dan masing-masing satu di Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh yang ada kaitan dengan kerugian pelbagai barangan berharga antaranya barangan kemas yang dileburkan serta 10 kereta pelbagai model keseluruhannya bernilai RM600,000.

“Turut dirampas jam pelbagai jenama dan gajet juga telefon bimbit, komputer riba serta sebuah dron,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini pada Selasa.

Shafien (tengah) melihat 10 kenderaan yang dirampas daripada suspek sebagai bukti bertujuan menjalankan siasatan kerana pecah rumah dan rompakan.
Shafien (tengah) melihat 10 kenderaan yang dirampas daripada suspek sebagai bukti bertujuan menjalankan siasatan kerana pecah rumah dan rompakan.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek utama mempunyai 18 rekod kesalahan lampau membabitkan kes pecah rumah, curi kenderaan, samun dan dadah selain bekas tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Artikel Berkaitan:

“Mereka dipercayai aktif bermula awal tahun ini dengan menggunakan peralatan seperti kuku kambing untuk memecah masuk rumah bagi mencuri barangan kemas.

“Jika tidak jumpa emas, mereka akan larikan kereta antaranya Perodua MyVi, Proton Wira, Perodua Axia, Honda Civic, Toyota Vios, Perodua Kelisa dan Honda Jazz,” katanya.

Ujarnya, dua daripada ahli geng tersebut sudah dijatuhi hukuman penjara enam bulan di mahkamah mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Sebahagian lagi suspek masih dalam tempoh reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak.

“Kami percaya masih ada saki baki ahli geng dan usaha mengesan mereka sedang giat dilakukan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!