Subsidi baja padi: Pesawah tertekan

Suib (duduk tiga kanan) bersama pesawah yang hadir pada sidang media meminta pertimbangan kerajaan, di sini hari ini.
Suib (duduk tiga kanan) bersama pesawah yang hadir pada sidang media meminta pertimbangan kerajaan, di sini hari ini.
A
A
A

TELUK INTAN - "Kami mahu kerajaan sekarang memberi subsidi baja padi sama seperti yang diberikan kerajaan terdahulu dan bukan mengurangkannya hingga membebankan pesawah.

Itu luahan seorang daripada 2,300 pesawah Jelapang Padi Sungai Manik dan Labu Kubong selepas kecewa pemberian baja subsidi melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) tidak lengkap seperti sebelum ini.

Pesawah, Helmi Iskandar Mohamad, 42, berkata, semua pesawah melahirkan rasa kecewa dan terkilan dengan apa yang berlaku kerana ia bakal menjejaskan hasil padi yang baharu sahaja mula ditanam.

"Bila tiada baja kami kena keluarkan duit sendiri kalau tak beli hasil padi akan terjejas, nak beli kos tinggi bukan semua petani ada duit takkan nak biarkan padi kami begitu.

"Kerajaan sekarang jangan tekan pesawah dan kami berharap apa yang kami dapat dahulu dari kerajaan sebelum ini kekalkan dan jangan kurangkan," katanya kepada pemberita pada sidang media yang dihadiri lebih 30 pesawah di Chenderong Balai, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Manik / Labu Kubong, Suib Sulaiman yang mewakili pesawah kawasan berkenaan berkata pihaknya berharap pihak kerajaan dapat melihat isu yang membelenggu mereka.

"Kami ingin ucapkan terima kasih atas pemberian baja subsidi bagi musim 1/19 baru-baru ini melibatkan 12 beg baja sebatian atau campuran dan empat beg baja urea seberat 20 kilogram setiap satu beg bagi keluasan sawah satu hektar.

"Bagaimanapun, petani merasa terkilan dengan bantuan tersebut kerana tidak mencukupi satu lagi jenis baja iaitu baja tambahan NPK sebanyak enam beg seberat 25 kilogram satu beg bagi keluasan satu hektar sawah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, selain itu, bantuan input pertanian racun serangga dan racun rumpai berjumlah RM200 bagi satu hektar juga tidak diterima petani seperti sebelum ini.

"Apa yang membimbangkan pesawah adalah setelah pokok padi hidup subur tanaman berkenaan tiada bekalan makan mencukupi bagi anak padi serta kawalan serangga makhluk perosak hingga ke peghujung.

"Ini akan menyebabkan pokok padi terencat dan mengakibatkan pengeluaran hasil buah padi menurun dan menjejaskan dasar makanan negara serta pendapatan pesawah-pesawah," katanya.

Ekoran daripada itu, Suib berkata, semua pesawah dengan rasa rendah hati meminta kerajaan melalui MOA dapat menyediakan peruntukkan subsidi baja padi seperti yang diterima petani seperti sebelum ini.

"Semoga rintihan kami pesawah mendapat perhatian daripada pihak kementerian an dapat membekalkan dengan segera baja tambahan NPK sebanyak enam beg bersama bantuan input pertanian racun serangga dan rumpai bernilai RM200 bagi setiap hektar sawah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!