Rakyat patuh SOP PKP 3.0
KUALA LUMPUR - Pengunjung pusat beli-belah di ibu negara dikesan patuh prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diperketatkan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, tinjauan hari pertama penguatkuasaan PKP 3.0 di sebuah pusat beli-belah terkenal memfokuskan penekanan di mana pengunjung atau pelanggan dibenarkan berada maksimum dua jam dalam premis tersebut.
"Tinjauan mendapati rata-rata pengunjung sedar arahan itu.
"Apabila kita memeriksa setiap pelanggan, mereka menunjukkan bukti di aplikasi MySejahtera dan dapati mereka berada kurang dari dua jam dan dinasihatkan berada di dalam premis tidak lebih dua jam," katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan SOP di sini pada Selasa.
Beliau berkata, pemilik premis juga diingatkan memberi nasihat kepada pengunjung patuh SOP berkenaan.
Katanya, pihaknya juga mendapati kesemua pasar raya di sekitar ibu negara menunjukkan pengurangan kehadiran pengunjung sekitar 30 hingga 40 peratus sejak PKP 3.0 dikuatkuasakan baru-baru ini.
"Ini menunjukkan ada kesedaran orang ramai ke atas saranan kerajaan untuk tidak keluar rumah. Ini satu perkara baik dalam usaha melandaikan lengkuk Covid-19. Inilah salah satu cara untuk buat kawalan kendiri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!