Giliran Nazirul Naim angkat kaki
BEKAS bek kiri skuad kebangsaan, Nazirul Naim Che Hashim mengesahkan akan meninggalkan Perak FC bagi menyertai sebuah kelab yang beraksi dalam Liga Super pada musim ini.
Pemain kelahiran Kuala Kangsar itu berkata, beliau sendiri memohon pelepasan daripada pihak pengurusan baru-baru ini untuk meninggalkan Perak FC yang telah disertai sejak musim 2016.
"Kalau diikutkan ini (berhijrah) bukan tindakan yang saya ingin buat sebenarnya. Tetapi selepas meneliti pelbagai perkara serta berbincang dengan keluarga dan rakan terdekat, ia perlu dilakukan.
"Mengenai pasukan mana yang akan saya main, itu biarlah pasukan tersebut yang umumkan. Saya tidak mahu mendahului mereka," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Sebelum ini, bekas juara Piala Malaysia 2018 itu kehilangan kapten Shahrul Saad dan penyerang naturalisasi Guilherme De Paula, yang berhijrah ke Johor Darul Ta'zim (JDT), manakala Kenny Pallraj dan J Parthiban mengambil keputusan menyertai skuad Kuala Lumpur (KL) City FC.
Nazirul Naim berkata, keputusan untuk berhijrah itu juga diambil bukan kerana isu tunggakan gaji sebaliknya memikirkan tentang masa depan serta kekurangan mendapat minit permainan sepertimana yang diinginkan.
"Musim ini pun tidak banyak saya beraksi untuk 90 minit penuh. Jadi bila ada pasukan yang boleh tawarkan perkara itu, saya fikir mereka nampak kemampuan saya. Ini juga antara cara untuk saya tingkatkan mutu permainan," katanya.
Beliau berkata selain itu, skuad The Bos Gaurus ketika ini agak tempang untuk meneruskan misi kekal dalam Liga Super ekoran penghijrahan beberapa tonggak utama ke pasukan lain.
"Secara realiti, apa yang ada ini belum cukup. Bukan kata pemain muda tiada potensi tetapi aksi Liga Super tidak sama macam Liga Premier. Ditambah dengan kekurangan pengalaman, saya fikir bukan mudah kita nak bereksperimen dalam baki perlawanan yang tinggal," katanya.
Nazirul Naim juga berkata, beliau tidak akan sesekali melupakan jasa dan sumbangan Perak FC kepadanya selain sentiasa terbuka untuk kembali beraksi bersama kelab itu pada masa akan datang.
“Pintu hati saya tak pernah kata tidak untuk Perak tapi untuk ketika ini, biarlah saya bawa haluan berbeza terlebih dahulu. Mana tahu, ada rezeki nanti saya akan pulang untuk kembali bersama," katanya.
Dalam ciapan di akaun Twitter hari ini Nazirul berkata: “Bukan mudah membuat keputusan untuk kerjaya dan keluarga anda. Sentiasa ada pro dan kontra. Namun itulah kehidupan. Sekali anda buat keputusan, anggaplah ia sebagai satu cabaran. Terima kasih untuk segala memori. Maafkan saya.”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!