Tekanan mental, fizikal penyumbang tindakan rakyat langgar SOP
SHAH ALAM - Faktor tekanan mental dan fizikal ekoran amalan normal baharu ketika pandemik Covid-19 berkemungkinan antara faktor yang mendorong segelintir masyarakat melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Pakar Psikologi Pekerjaan Fakulti Sastera dan Sains Sosial dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Mohd Awang Idris berkata, setiap individu secara psikologinya tidak mudah untuk terus menyesuaikan diri dengan perubahan mengejut dalam gaya hidup mereka.
Menurutnya, tekanan hidup dihadapi individu akibat normal baharu juga menjadi punca mendesak mereka membuat keputusan salah.
“Tekanan yang dimaksudkan bukan sahaja daripada segi ekonomi tetapi mengubah kebiasaan, itu sudah cukup memberi tekanan. “Dulu boleh ke mana sahaja, sekarang dihalang. Ia sudah memadai membuat orang tertekan.
“Bagi kes-kes pelanggaran SOP, walaupun ia satu kesalahan tetapi kita perlu melihat mereka ini manusia yang bagaimana?
“Contohnya, ada orang yang terpaksa berniaga di tepi jalan lebih waktu kerana survival.“Untuk kumpulan yang mengalami tekanan hidup ataupun tertekan dengan sekatan yang agak lama, secara psikologinya apabila dihadapkan dengan dua keadaan itu akan memilih salah satu atau mengabaikan kedua-duanya,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.Beliau berkata, untuk membantu meringankan tekanan dihadapi rakyat khususnya daripada aspek mental, semua pihak termasuk kerajaan perlu menyeimbangkan penyebaran mesej bersifat negatif dan positif.
Pakar Psikoterapi dan Kaunseling (Kemurungan dan Kebimbangan), Dr Meriam Omar Din berkata, psikologi sosial majoriti masyarakat Malaysia dipengaruhi sentimen dan persepsi dalam tingkah laku sekali gus antara punca pelanggaran SOP.
Jelasnya, ia boleh dilihat apabila rakyat Malaysia yang pada mulanya patuh arahan ketika PKP 1.0 telah berubah selepas timbul beberapa isu seperti penguatkuasaan SOP yang tidak adil.“Kita boleh membandingkan bagaimana sikap dan tingkah laku rakyat di negara maju lain seperti Singapura dan Thailand bertindak rasional berdasarkan peraturan dan bukannya emosi ataupun sentimen,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!