Sanitasi tangan semakin diabaikan?

sanitizer Covid-19 Foto 123RF
sanitizer Covid-19 Foto 123RF
A
A
A

MELAKA - Sejak meletusnya pandemik Covid-19, cecair pensanitasi tangan atau ‘hand sanitizer’ dan pelitup muka menjadi antara barangan paling laris di pasaran sehingga ada yang menjualnya dengan harga yang mahal dan tidak masuk akal.

Malah jika berkunjung ke farmasi, pasar raya atau kedai serbaneka untuk mendapatkan cecair nyahkuman ketika itu, pastinya para pengunjung akan terkilan kerana kehabisan stok.

Namun, selepas lebih setahun pandemik tersebut membelenggu masyarakat dengan pelbagai pendekatan kebiasaan baharu diperkenalkan bagi mengekang penyebaran virus, penggunaannya kini dilihat seolah-olah dipandang sepi.

Tinjauan Bernama di beberapa farmasi terkemuka, kedai serbaneka malah stesen minyak di sini mendapati penjualan cecair pensanitasi tangan kini tidak ‘sederas’ pada permulaan wabak Covid-19 tercetus pada tahun lepas.

Seorang penjual di sebuah farmasi, Aina Razak, 25, berkata, pensanitasi tangan serta penyembur nyahkuman yang dulunya menjadi rebutan kini semakin tidak dipedulikan walaupun harga jualan adalah mampu milik serta produk tersebut didatangkan dalam pelbagai saiz dan jenama.

"Kalau dulu, memang tak sempat nak letak di atas rak. Memang cepat saja habis sampaikan kami terpaksa berulang kali membuat tempahan daripada pembekal dalam tempoh seminggu dan kadangkala, terputus bekalan.

"Tapi sekarang, pembelian tak macam dulu. Mungkin orang ramai lebih membeli pelitup muka berbanding pensanitasi tangan kerana ia wajib digunakan terutama di tempat awam,” katanya.

Bukan sekadar itu, pemerhatian yang dilakukan di beberapa tempat awam seperti stesen minyak, restoran, kedai serbaneka juga mendapati orang ramai tidak menggunakan cecair itu sebelum atau selepas memasuki premis tumpuan awam, walaupun disediakan secara percuma.

Artikel Berkaitan:

Lebih memburukkan keadaan, penyediaan cecair nyahkuman di beberapa premis tumpuan awam juga seolah-olah hanya ‘cukup syarat’.

Antara alasan yang diberikan pemilik premis adalah kekangan kos dan penggunaan tidak begitu memberangsangkan oleh pengunjung kerana mereka lebih mementingkan penggunaan pelitup muka serta mengimbas suhu.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar ketika dihubungi juga mengakui bahawa penggunaan cecair nyahkuman tangan ini kurang digunakan sedangkan ia antara cara berkesan untuk menghentikan rantaian Covid-19 selain daripada pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

"Lebih banyak kempen perlu diadakan untuk tingkatkan kesedaran mengenai kepentingan dan kebaikan penggunaan pensanitasi tangan sebab ia sangat berkesan dan mudah dibawa untuk digunakan di mana-mana sahaja.

"Sebab itu saya sangat galakkan agar setiap kita mempunyai satu (pensanitasi tangan) di dalam rumah, kereta, beg tangan serta poket,” katanya yang dihubungi Bernama.

Turut senada, Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Datuk Rahmad Mariman yang turut menegur orang ramai yang tidak peka dengan pensanitasi tangan sedangkan ia termasuk dalam tiga prosedur operasi standard (SOP) asas dalam mengekang penularan Covid-19.

"Sebenarnya tak semestinya menggunakan pensanitasi tangan, basuh tangan pun okey tapi sebab pensanitasi tangan dah ada dan mudah, pakai sajalah. Manfaatkan benda itu.

"Saya tengok orang simpan di dalam kereta, dalam beg tangan. Sekadar simpan tapi tak digunakan. Maknanya di mana tahap kesedaran orang ramai? Seolah-olah tak ambil berat dengan SOP asas ini,” katanya.

Bagi pemilik premis, Rahmad menasihati mereka agar menggunakan cecair nyahkuman yang diperakui serta jangan kedekut kerana bimbangkan kos.

"Jangan sekadar ada sebab kalau berlaku jangkitan dalam premis, mereka terpaksa tutup kedai dan ini akan jejaskan perniagaan. Jadi jangan kedekut dan takut dengan kos yang akan dikeluarkan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!