Kakitangan LRT terlibat kemalangan tren tidak dibenar kendali operasi
KUALA LUMPUR - Kakitangan yang terlibat dalam kemalangan tren Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran stesen Kampung Baru, di sini pada Isnin, diarahkan untuk tidak terlibat dalam pengendalian pengoperasian.
Menteri Pengangkutan, Dr Wee Ka Siong berkata, tindakan itu diambil mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kita ada SOP, mana-mana yang terlibat tidak dibenarkan mengendalikan, kita kena adil dengan semua orang dan menyiasat perkara ini dari semua sudut.
“Selain itu, kita memerlukan 14 hari untuk melengkapkan laporan, sebelum dikemukakan kepada jemaah menteri," katanya pada sidang akhbar berhubung perkembangan terkini insiden tren LRT laluan Kelana Jaya di Auditorium C Hospital Kuala Lumpur pada Selasa.
Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, Pemangku Presiden Prasarana Berhad, Datin Norlia Noah dan Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Heric Corray.
Dalam pada itu, Ka Siong turut mengucapkan penghargaan kepada semua anggota penyelamat yang bertungkus-lumus menyelamatkan kesemua mangsa.
Katanya, kecekapan anggota penyelamat termasuk penyiasat turun ke lokasi dalam masa singkat, membuktikan semangat kerjasama yang kuat.
“Lebih kurang jam 9.30 malam, pasukan penyiasat memasuki kawasan kejadian namun kita perlukan sedikit masa kerana mahu memastikan landasan itu selamat digunakan,” katanya.
Dalam kejadian pada jam 8.45 malam Isnin, seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya cedera parah akibat pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya yang berlaku di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru.
Ia melibatkan satu tren yang membawa penumpang dengan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.
Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke HKL untuk mendapatkan rawatan lanjut.
ARTIKEL BERKAITAN: LRT bertembung: Tiga alami pendarahan otak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!