Anwar gesa percepatkan beri vaksin kepada petugas media

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin kepada petugas media, ekoran ramai dalam kalangan mereka dijangkiti virus Covid-19.

Anwar yang juga merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, pengamal media merupakan petugas barisan hadapan yang bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.

“Tanggungjawab yang mereka galas mampu mengolah persetujuan umum. Justeru, saya gesa kerajaan mempercepatkan langkah ini dan dedahkan mekanisme yang terbaik dalam memungkinkannya,” ciap beliau di laman Twitter semalam.

Pada Selasa, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan memberi janji temu kepada lebih 5,000 petugas media daripada 144 agensi yang berdaftar di negara ini, untuk mendapatkan vaksin.

Menurut Khairy, setakat ini pihaknya menerima 5,867 nama petugas media dan janji temu akan dikeluarkan secepat mungkin selepas mendapat butiran lengkap.

Sementara itu, dalam ciapan berasingan Anwar turut menggesa agar kerajaan mempertingkatkan kemampuan pendaftaran vaksinasi kepada rakyat bagi mengelak mereka dilayan seperti pengemis.

"Ini bukan kali pertama rakyat dilayan seperti pengemis mengejar vaksin. Kita perlu tingkatkan kemampuan pendaftaran untuk memudahkan semua. Berapa kali kena ulang," ciapnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!