Dua penjaga premis judi diberkas
KUALA LUMPUR - Dua individu warga asing ditahan di sebuah premis di Overseas Union Garden pada Selasa selepas disyaki bertugas sebagai penjaga premis perjudian atas talian.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, lelaki dan wanita masing-masing berusia 40 tahun dan 36 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 10.50 malam.
Anuar memberitahu, polis turut merampas tujuh set komputer yang digunakan untuk tujuan perjudian.
"Kedua-dua mereka gagal mengemukakan pas perjalanan yang sah dan kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Serbuan dilakukan sepasukan polis dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Brickfields bersama pakar judi dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur.
Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan di Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis yang berdekatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!