Sidang media memalukan, PM wajib pecat Tajuddin

Kemalangan melibatkan tren LRT bernombor 40 dan 81.
Kemalangan melibatkan tren LRT bernombor 40 dan 81.
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajib memecat Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta-merta setelah tindak-tanduknya dianggap memalukan sewaktu mengadakan sidang media berhubung kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di laluan Kelana Jaya, berdekatan Stesen LRT Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), Isnin lalu.

Peguam, Haniff Khatri Abdulla menyifatkan sidang media dikendalikan Tajuddin pada pagi Selasa lalu di lokasi kejadian sebagai perbuatan tidak profesional, biadab dan amat memalukan rakyat Malaysia pada saat negara berdepan tragedi kemalangan besar dalam tempoh 25 tahun.

Jelas beliau, tingkah laku Tajuddin sepanjang sidang media berdurasi 21 minit dan 25 saat itu juga menampakkan kedangkalan beliau berhubung fakta latar belakang kejadian, perangkaan berkaitan kemalangan sehinggakan kenyataan dikemukakan seringkali perlu diperbetulkan oleh pegawai-pegawai yang mengiringi beliau.

"Selain itu, beliau juga dilihat tidak peka kepada peristiwa tragis serta perasaan trauma dan kesedihan dialami para penumpang yang menjadi mangsa serta ahli keluarga masing-masing apabila tanpa rasa kesal dan sedih mengeluarkan kenyataan berbentuk jenaka secara biadab.

"Secara keseluruhannya, tindak tanduk hodoh seperti ini oleh para pemimpin politik yang dilantik memegang jawatan kerajaan, wajib dihentikan dan dinoktahkan terus mulai sekarang serta tidak boleh berulang lagi," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindak-tanduk Tajuddin yang dikecam warganet sewaktu mengadakan sidang media berkaitan peristiwa kemalangan dua tren LRT yang menyebabkan sejumlah 47 penumpang cedera parah, manakala 166 lagi cedera ringan.

Polis menyiasat Tajuddin kerana tidak memakai pelitup muka pada sidang akhbar berkaitan kemalangan tren LRT pada Selasa.
Polis menyiasat Tajuddin kerana tidak memakai pelitup muka pada sidang akhbar berkaitan kemalangan tren LRT pada Selasa.

Laporan terkini mengesahkan bahawa tiga penumpang mengalami pendarahan otak, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kini berada dalam keadaan stabil.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi penumpang perlu menjalani rawatan resusitasi serebrum, serta tiga lagi mangsa sedang dirawat di wad biasa kerana antara lain mengalami patah tulang, kecederaan di dada dan di hati.

Dalam sidang media berkenaan, Tajuddin secara berjenaka memberitahu wartawan keadaan kemalangan dalam terowong bawah tanah itu adalah 'normal dengan hanya dua tren bersama, saling bercium'.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu turut dibidas kerana gagal hadir ke lokasi kejadian bersama-sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong pada malam kemalangan berlaku.

Namun beliau memberi alasan tidak dapat hadir kerana baru selesai bermesyuarat dan bersiap sedia untuk mendapatkan dos kedua vaksin Covid-19.

Haniff Khatri berkata, rakyat Malaysia wajib bangkit menuntut Muhyiddin untuk memecat segera Tajuddin kerana sebarang pendapat dangkal yang masih mahu mempertahankan pemimpin seperti ini adalah tidak boleh diterima.

"Keputusan pemberian RM1,000 kepada setiap mangsa kemalangan juga adalah satu penghinaan dan rakyat wajib secara lebih kritikal untuk memberi kata dua terhadap kerajaan supaya negara ini benar-benar memiliki pemimpin berkeupayaan memacu kemajuan, bukan menjadi bahan lawak negara asing," katanya.

Dalam pada itu, media sosial dihujani gesaan agar Tajuddin disingkirkan daripada Prasarana, susulan polemik selepas sidang media Selasa lalu.

Tanda pagar #LetakJawatanTajuddin dan #TajuddinLetakJawatan menjadi sohor kini di Twitter, malah petisyen dalam talian juga dilancarkan bagi menggesa dia berundur segera.

Kerajaan sebelum ini menyatakan siasatan awal mengenai pelanggaran tren LRT di terowong bawah tanah antara stesen KLCC dan Kampung Baru itu disebabkan 'kecuaian' pemandu dalam mengendalikan salah satu tren tersebut secara manual.

Agensi Pengangkutan Awam Darat mendapati tren 'TR240' yang tidak membawa penumpang dipandu salah arah dan bertembung dengan tren bernombor 'TR181' di landasan sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!