Mangsa kemalangan tren LRT terima faedah Perkeso
SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bersedia membantu mangsa kemalangan tren LRT Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pihaknya menerusi Perkeso bersedia membantu mangsa kemalangan yang layak dengan faedah mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan juga Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).
Menurutnya, di bawah Akta 4, Perkeso menyediakan perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan ketika bekerja atau semasa perjalanan pergi dan balik dari kediaman serta tempat kerja menerusi Skim Bencana Pekerjaan.
“Mangsa kemalangan yang mencarum dengan Perkeso dan disahkan mengalami kes Bencana Kerja layak menerima bantuan faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kata beliau, mangsa kemalangan daripada Orang Bekerja Sendiri (OBS) yang berdaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta 789 layak memohon faedah Perkeso jika kemalangan tersebut berlaku sewaktu menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri atau dalam perjalanan pergi bekerja atau balik ke rumah.
Saravanan berkata, antara manfaat mangsa kemalangan yang layak di bawah kedua-dua akta tersebut adalah rawatan perubatan percuma di klinik panel Perkeso atau klinik dan hospital kerajaan menerusi faedah perubatan.
“Mereka yang diberi cuti sakit disahkan oleh doktor pula akan menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sepanjang tempoh cuti sakit,” katanya.
Mengulas lanjut, jika ada mangsa yang disahkan cedera parah hingga menyebabkan hilang upaya kekal akibat kemalangan tersebut, mereka akan dibantu dengan Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) dan Kemudahan Pemulihan Jasmani iaitu bekalan alat-alat prostetik, ortotik dan ortopedik seperti kaki dan tangan palsu, kerusi roda, tongkat dan kasut khas.
Saravanan menyeru majikan atau ahli keluarga mangsa supaya segera mengemukakan tuntutan permohonan faedah di mana-mana pejabat Perkeso yang berdekatan dan boleh hubungi nombor careline Perkeso di 1-300-22-8000 atau e-melkan kepada perkeso@perkeso.gov.my untuk maklumat lanjut,” katanya.
Pada Isnin, dua buah tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya bertembung mengakibatkan beberapa penumpang mengalami kecederaan.
Seramai 213 penumpang yang berada di dalam satu tren itu cedera dengan 47 daripadanya parah.
ARTIKEL BERKAITAN: LRT bertembung: Enam penumpang kritikal
ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu tren LRT negatif dadah: Polis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!