Wanita dicabul, dipukul di parkir kereta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang wanita dicabul dan dipukul seorang lelaki dalam satu kejadian di tempat parkir kereta di kawasan komersil Kota Damansara pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 9.30 pagi ketika mangsa berumur 21 tahun itu berada di luar keretanya.

"Menerusi laporan diterima, mangsa menyatakan telah ditolak oleh seorang lelaki menyebabkannya jatuh terlentang di dalam kereta.

"Suspek kemudiannya menindih badan mangsa sambil meraba dan cuba membuka baju mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, mangsa kemudiannya meronta dan menjerit meminta pertolongan.

"Suspek kemudiannya menumbuk muka mangsa berkali-kali, mangsa seterusnya bertindak menekan hon kereta menyebabkan suspek melarikan diri.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan bengkak dan lebam di bahagian muka," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal dijalankan mendapati sebelum kejadian, mangsa telah berselisih dengan suspek semasa berjalan ke keretanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, usaha memburu suspek kini sedang giat dijalankan.

"Mangsa dipercayai berketinggian 165cm (sentimeter), berusia lingkungan umur 25 tahun, berbadan kurus dan bertatu penuh di tangan kanan.

"Suspek juga bermata hitam, berambut pendek, kening sederhana dan bermulut tebal," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!