Maut badan tersepit di mesin buat sarung tangan getah
ALOR GAJAH - Seorang pekerja kilang warga Bangladesh maut selepas badannya tersepit pada mesin pembuat sarung tangan getah di sebuah kilang di Kelemak di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, mayat Mohd Sharif Kolok, 31, dijumpai tersepit pada mesin itu pagi ini.
"Polis terima aduan mengenai kejadian itu pada jam 7.15 pagi. Majikan mangsa memberitahu polis bahawa mangsa bekerja seorang diri ketika kejadian dan pihak bomba berjaya mengeluarkan mayatnya.
"Hasil daripada siasatan mendapati bahawa tidak ada unsur jenayah atau khianat dilakukan kepada mangsa,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat dan punca kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!