Warga emas pakai gelang 'pink' kayuh basikal bukan di Alor Setar

Gambar tular mendakwa individu memakai gelang merah jambu di Kampung Berjaya, di sini.
Gambar tular mendakwa individu memakai gelang merah jambu di Kampung Berjaya, di sini.
A
A
A

ALOR SETAR - Gambar seorang warga emas memakai gelang merah jambu kononnya sedang mengayuh basikal di tempat awam yang tular di Facebook bukan berlaku di Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, semakan gambar wanita yang didakwa memakai gelang merah jambu di Kampung Berjaya di sini mendapati tiada tempat menyerupai lokasi berkenaan di lokasi itu.

"Semakan ke atas gambar mendapati lokasi tidak sama. Macam mana ada dakwaan kejadian itu berlaku di Kampung Berjaya?

"Jika mereka ada maklumat, salurkan kepada polis dan bukan hanya memberi gambar," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Ops Pemantauan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada Rabu.

Sebelum ini, tular di media sosial menunjukkan gambar seorang wanita memakai gelang merah jambu yang sedang mengayuh basikal yang didakwa berlaku di Kampung Berjaya, Alor Setar.

Ahmad Shukri berkata, sehubungan itu polis meminta individu terbabit tampil memberi maklumat lebih lengkap dan lokasi sebenar kejadian.

"Kita juga ingin menasihatkan kepada individu yang memakai gelang merah jambu supaya duduk di rumah sehingga tamat tempoh kuarantin ditetapkan," katanya.

Tambahnya, tindakan mereka keluar rumah bukan hanya membahayakan diri sendiri tetapi boleh menyebarkan virus kepada masyarakat lain.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Shukri turut memberi amaran bahawa kompaun semaksimum mungkin boleh dikenakan kepada individu yang memakai gelang merah jambu jika ditangkap keluar rumah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!