Orang Besar Jajahan Perak Tengah meninggal dunia
IPOH - Orang Besar Jajahan Perak Tengah, Datuk Seri Ghazalli Abdul Rahman meninggal dunia di sini awal pagi Rabu kerana sakit tua.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Datuk Seri Mohd Anuar Zaini berkata, Allahyarham, 90, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 3.30 pagi.
Difahamkan Allahyarham yang juga Orang Kaya Kaya Setia Bijaya Diraja meninggal dunia di kediamannya di Desa Perwira di sini.
"Jenazah kemudian dimandikan dan diuruskan di Masjid Solatiah, Rapat Setia untuk solat jenazah dan seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurap Jalan Kuala Kangsar-Ipoh kira-kira 10 pagi.
"Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta diterima segala amal bakti Allahyarham," katanya ringkas kepada Bernama.
Orang Besar Jajahan dipilih dan dilantik Sultan Perak untuk mewakili istana dalam segala urusan berkaitan di setiap daerah yang diamanahkan kepada mereka.
Antara tugas Orang Besar Jajahan ialah menjalankan segala titah perintah Sultan Perak yang berkaitan dengan urusan pentadbiran kerajaan, agama Islam, adat Melayu serta kebajikan rakyat jelata dengan menganggotai pelbagai pertubuhan dan sebagainya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!