Pengunjung membeli-belah kurang dua jam

Hasnol (kanan) ketika meminta salah seorang pengunjung menunjukkan aplikasi MySejahtera bagi mengenalpasti tempoh masa yang digunakan.
Hasnol (kanan) ketika meminta salah seorang pengunjung menunjukkan aplikasi MySejahtera bagi mengenalpasti tempoh masa yang digunakan.
A
A
A

PETALING JAYA - Tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) berhubung had masa dua jam untuk membeli-belah seperti ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) adalah sangat tinggi.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, pihaknya mendapati kebanyakan pengunjung menggunakan tempoh masa tersebut kurang daripada dua jam.

“Selepas memeriksa seramai 230 pengunjung, kami mendapati kebanyakan mereka hanya menggunakan 1 jam 45 minit untuk membeli-belah. Ada juga pengunjung yang hanya berada di premis selama 20 minit.

“Jadi, kurang daripada dua jam sebagaimana yang ditetapkan. Ini jelas menunjukkan tahap pematuhan dan kesedaran mereka adalah sangat tinggi,” katanya selepas melaksanakan operasi had maksimum dua jam (OPS HAD 2J) di Sunway Piramid di sini pada Rabu.

Hadir sama Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Aman Adam dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Abdul Jamal Abdul Razak.

Mengulas lanjut, Hasnol berkata, terdapat segelintir individu didapati berada di pusat beli-belah berkenaan selama dua jam empat minit.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya telah membuat teguran tanpa mengeluarkan sebarang kompaun.

“Kita kira ini merupakan masa kecederaan. Mungkin ada isu seperti kelewatan atau sebab-sebab lain yang boleh dipertimbangkan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, tiada masalah dan kita tidak perlu mengenakan kompaun kepada mereka,” katanya.

Dari segi pemantauan SOP, beliau berkata, pemeriksaan rawak melalui aplikasi MySejahtera akan dilakukan oleh pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain KPDNHEP terhadap pengunjung di premis-premis berkenaan.

“Sekiranya didapati ada pengunjung melebihi had masa dua jam ditetapkan, mereka boleh dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana melanggar SOP PKP,” katanya.

Sehubungan itu, Hasnol berkata, kerjasama daripada orang ramai penting bagi memastikan SOP berkenaan dipatuhi dalam usaha kerajaan mengurangkan kesesakan di pusat beli-belah, pasar raya dan lain-lain premis untuk mengawal penularan Covid-19.

“Kami menyambut baik langkah tambahan diambil oleh pihak pengurusan pusat beli-belah yang menggunakan pendekatan sendiri.

"Ini termasuk penggunaan alat teknologi, pemantauan oleh kakitangan dan pemberian tag bagi mengelakkan pengunjung yang berada di dalam premis lebih dari dua jam,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!