Bapa, anak lemas dalam kereta
KEMAMAN - Akibat tidur dalam kereta, seorang bapa dan anak lelakinya kritikal selepas disyaki lemas di dalam kenderaan itu semasa sedang menunggu isterinya di tempat letak kereta Hospital Kemaman, di sini, tengah hari tadi.
Mohd Amiroshelmi Jusoh, 30 dan anak lelakinya, Putera Rafiudin yang berusia enam tahun ditemui rakannya yang melihat kedua-dua mereka terbaring tidak sedarkan diri pada kira-kira jam 12.30 tengah hari di dalam kereta jenis Proton Gen 2.
Lelaki itu dikatakan datang dari Bandar Kerteh untuk melihat isteri dan anak bongsunya yang berusia tiga tahun yang ditahan di wad hospital berkenaan ekoran masalah kesihatan sejak Isnin lalu.
Rakan mangsa, Mohd Hazmin Jusoh, 33, berkata, ketika kejadian, dia datang untuk menemui mangsa untuk membincangkan hal berkaitan kerja selepas mangsa tidak menjawab panggilan sejak dari pagi lagi.
"Selepas beberapa jam saya gagal untuk menghubunginya, saya ambil keputusan untuk pergi sendiri ke hospital kerana saya bimbang sebab dia sebelum ini tak pernah tak jawab panggilan telefon dari saya.
"Setiba di hospital, saya lihat keretanya diletakkan di pintu pagar dan saya lihat dia dan anaknya terbaring tidak sedarkan diri di dalam kereta," katanya.
Berikutan itu, Mohd Hazmin cuba memecahkan cermin sisi hadapan kereta di sebelah penumpang namun tidak berjaya sebelum mengambil sebongkah batu dan berjaya memecahkan cermin itu.
"Sejurus cermin pecah, saya buka pintu dan dukung anaknya yang dalam keadaan pucat dan terus saya bawanya lari masuk ke unit kecemasan sebelum beberapa petugas pergi menyelamatkan rakan saya pula," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut.
Kata beliau, kedua-dua mangsa masih dirawat di zon merah dan masih dalam keadaan kritikal.
"Kita akan jalankan siasatan lanjut untuk kenal pasti punca sebenar sama ada kedua-dua mangsa ini mengalami keracunan gas karbon monoksida atau kelemasan kerana kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan tingkap yang tertutup," katanya.
Susulan itu, Mohd Said juga mengingatkan orang ramai agar mengambil langkah-langkah keselamatan ketika berehat di dalam kereta dengan menghidupkan enjin supaya insiden seperti itu tidak berulang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!