Jangan mudah berpuas hati dengan kejayaan: Choong Hann
PEMAIN muda negara masih perlu meningkatkan prestasi walaupun mempamerkan aksi mengagumkan dengan menggondol dua gelaran pada Kejohanan Badminton Antarabangsa Slovenia 2021 Sabtu lalu.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann berkata, pemain muda ini tidak boleh sekadar berpuas hati dengan kejayaan yang dilakar pada kejohanan badminton di Dras Centre, Maribor, sebaliknya masih banyak ruang untuk penambahbaikan.
Bagaimanapun menurut Choong Hann, pujian harus diberikan kepada mereka kerana berjaya mengotakan janji dengan membawa pulang gelaran di Slovenia.
“Saya lebih berpuas hati dengan semangat mereka yang membuktikan mereka boleh mencapai kejayaan dalam kejohanan itu.
“Saya percaya dengan kualiti yang dimiliki semasa latihan dan ada daripada mereka yang membuktikan bahawa mereka boleh meraih kejuaraan dalam kejohanan itu,” katanya.
Beregu campuran Choong Hon Jian-Toh Ee Wei, kedua-duanya berusia 20 tahun, meraih gelaran pertama dalam kejohanan itu apabila menewaskan pasangan Indonesia Muh Erwiansyah-Sofy Asharunnisa 21-18, 21-18 dalam pertarungan selama 32 minit.
Ia adalah kejuaraan antarabangsa kedua bagi pasangan yang menghuni ranking ke-263 dunia itu setelah memenangi Terbuka Poland dalam penampilan sulung mereka, Mac lepas.
Gandingan Low Yeen Yuan-Valeree Siow pula melakar kejayaan berganda buat Malaysia apabila berjaya merangkul kejuaraan beregu wanita.
Pasangan bukan pilihan berusia 19 tahun itu, berjaya mengejutkan pemain pilihan ketiga yang merupakan ranking dunia ke-133, Isabella Nielsen-Marie Steffensen dari Denmark 21-11, 21-15 untuk mengecap kejuaraan antarabangsa pertama mereka.
Selain dua kejayaan itu, pemain muda lain turut mempamerkan aksi membanggakan untuk merangkul kejayaan pada masa hadapan walaupun gagal melayakkan diri ke final.
Pasangan kembar Cheng Su Hui-Cheng Su Yin gagal memastikan semua pemain beregu wanita negara mara ke final apabila tewas kepada Isabella-Marie 21-15, 17-21, 19-17.
Dalam kategori beregu lelaki, Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe terkandas pada peringkat separuh akhir selepas disingkirkan oleh pemain Indonesia Muh Erwiansyah-Patra Rindorindo dengan kemenangan straight set 21-9, 21-18 manakala cabaran Malaysia dalam kategori perseorangan wanita juga berakhir pada separuh akhir apabila Siti Nurshuhaini Azman ditundukkan oleh Mutiara Puspitasari dari Indonesia 21-15, 21-17.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!