Reezal Merican arah pegawai, MSN bantu Cindy
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengarahkan pegawainya dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menghubungi dan membantu bekas perenang negara Cindy Ong yang dikatakan mengalami gangguan seksual ketika bergelar atlet negara.
Reezal Merican menegaskan pihaknya akan membantu membuat laporan polis berhubung perbuatan itu dan memberi jaminan MSN akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan mereka.
Beliau mengakui amat terkesan selain berasa marah dan kecewa mengikuti kisah yang dilalui Cindy suatu masa dahulu serta atlet lain yang terlibat seperti dilaporkan oleh media baru-baru ini.
“Perkara seperti ini boleh terjadi dan terus terjadi kepada sesiapa sahaja, tidak kira atlet, pegawai, jurulatih mahupun staf sokongan; lelaki atau wanita, sekiranya tiada tindakan diambil.
“Bagi saya, tiada kompromi dan tiada perlindungan untuk mana-mana jurulatih dan pegawai jika didapati bersalah. Pelaku tidak akan dilindungi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Reezal Merican berkata, gangguan berkenaan tidak seharusnya berlaku terhadap mana-mana atlet negara kerana setiap atlet dan pegawai harus berada dalam suasana yang selamat di dalam pusat latihan kebangsaan selain tidak mengganggu usaha pembangunan bakat dan sukan negara.
Sehubungan itu, beliau berkata kementeriannya dan MSN akan memberikan sokongan penuh dan juga terus memperkasa platform seperti Jawatankuasa Perwakilan Atlet MSN; Jawatankuasa Salah Laku & Gangguan Dalam Sukan MSN; dan juga Suruhanjaya Atlet di bawah Majlis Olimpik Malaysia agar mudah untuk atlet dan pegawai tampil membuat laporan jika berlaku insiden sedemikian.
Pada masa sama, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak menormalisasikan gangguan sedemikian tanpa sebarang tindakan lanjut.
“Kita semua ada keluarga, anak, isteri, adik-beradik yang mungkin terdedah kepada ancaman seperti ini. Berat untuk kita lalui dengan perasaan tidak dapat melindungi orang yang kita sayang,” tambahnya.
Pada Selasa, sebuah portal berita tempatan melaporkan pendedahan Cindy dan seorang lagi bekas perenang yang mendakwa mengalami gangguan dan serangan seksual selama bertahun-tahun ketika bergelar perenang negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!