Sandiwara Syed Saddiq tak menjadi, kata Pemuda UMNO
KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO menyifatkan sandiwara Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak menjadi dalam insiden kekecohan di Semenyih baru-baru ini.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendesak Menteri Belia dan Sukan itu disiasat kerana membuat laporan palsu.
“Ternyata sandiwara Syed Saddiq tidak menjadi kerana banyak rakaman video dan laporan polis balas beberapa saksi yang menafikan berlaku serangan ‘cekak leher’ sebagaimana yang didakwa dalam laporan polis palsu Syed Saddiq.
“Pemuda UMNO dengan ini mendesak agar Syed Saddiq juga disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo hari ini dibebas dengan jaminan polis selepas direman selama tiga hari selepas dikatakan mengasari Syed Saddiq, 16 Februari lalu.
ARTIKEN BERKAITAN: Papagomo tak bergaduh
Terdahulu, tular klip video berdurasi 22 saat yang memaparkan Syed Saddiq dikerumuni penyokong BN sambil diiringi polis dan Unit Amal Pas serta diekori sekumpulan individu yang menjerit dalam suasana yang kecoh.
Syed Saddiq mendakwa lehernya dicekak oleh Papagomo dan membuat laporan polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!