Covid-19: Ibu bapa perlu peka tahap kesihatan anak
KUALA TERENGGANU - Ibu bapa perlu peka terhadap tahap kesihatan anak bagi memastikan mereka bebas daripada gejala Covid-19 yang kian menular pada masa ini.
Pakar Paediatrik Hospital Pakar Kuala Terengganu, Dr Mohd Zuraizi Jaafar berkata, walaupun peratusan jangkitan dalam kalangan kanak-kanak masih rendah, trend terkini jangkitan Covid-19 adalah membimbangkan.
"Secara umumnya, pada peringkat awal gelombang pertama, kita dapati kadar dan tahap jangkitan Covid-19 terhadap kanak-kanak adalah rendah.
"Ini meredakan kebimbangan ibu bapa dan pakar terhadap jangkitan Covid-19 terhadap kanak-kanak di Malaysia dan seluruh dunia.
"Namun, trend terbaharu terutama bagi gelombang ke-3 dan ke-4 menunjukkan semakin ramai bayi yang berusia kurang dua tahun dijangkiti Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu, katanya, semua ibu bapa perlu mematuhi dan tidak mengambil ringan prosedur operasi standard (SOP) di luar rumah terutama pada waktu bekerja.
Selain itu, Dr Zuraizi yang juga Penyelaras MediCOM Terengganu berkata, ibu bapa diminta mendapatkan vaksin Covid-19 jika nama sudah di dalam senarai dan telah mendapat tarikh temu janji.
"Vaksin Covid-19 telah terbukti mengurangkan 50 peratus pembawa di rongga hidung sekali gus mengurangkan risiko membawa virus balik ke rumah kepada anak-anak jika ada kontak daripada rakan sekerja yang positif Covid-19.
"Bagi ibu bapa yang terdedah Covid-19 dan mengenalpasti perubahan pada tahap kesihatan anak-anak, terus bawa anak ke pusat saringan Covid-19 di hospital dan maklumkan bahawa terdedah dengan pesakit Covid-19 yang dalam tempoh kuarantin atau rawatan," katanya.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa mengumumkan terdapat 48,261 kanak-kanak dan bayi sudah dijangkiti Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!