Polis cari suspek kes gaduh libatkan tiga mangsa

Anbalagan menunjukkan gambar suspek yang dicari untuk membantu kes pergaduhan pada 8 Februari lalu
Anbalagan menunjukkan gambar suspek yang dicari untuk membantu kes pergaduhan pada 8 Februari lalu
A
A
A

BALIK PULAU - Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes mendatangkan kecederaan menggunakan senjata di Pekan Kuala Sungai Pinang di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, suspek berusia 37 tahun dengan alamat terakhir di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau dipercayai terlibat pergaduhan di hadapan sebuah kedai runcit jam 1.40 pagi, 8 Februari lalu.

"Suspek datang ke kawasan tersebut untuk berjumpa dengan bapa saudaranya selepas tidak berpuas hati kerana lelaki berusia 57 tahun itu bertengkar dengan ibu suspek. Lelaki itu adalah adik kepada ibu suspek.

"Suspek membuat provokasi dengan membaling mercun ke rumah bapa saudaranya dengan tujuan untuk memanggil lelaki itu keluar dari rumahnya. Sebaik bapa saudaranya keluar, suspek menyerangnya dengan menggunakan parang," katanya kepada media, hari ini.

Anbalagan berkata, akibat daripada serangan itu, lelaki berkenaan putus ibu jari tangan kanan dan cedera pada lengan akibat ditetak.

"Lengan lelaki itu luka teruk berikutan kehilangan cebisan daging dan putus ibu jari tangan kanannya. Melihat kejadian itu, anak tiri mangsa berusia 18 tahun cuba membantunya namun turut diserang sehingga patah tulang tangan kirinya akibat ditetak.

"Rakan mangsa turut cedera dengan putus urat jarinya kerana cuba meleraikan pergaduhan tersebut akibat diserang suspek. Suspek kemudiannya terus melarikan diri apabila orang awam semakin ramai mengerumuni lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, polis berjaya menemui parang yang dipercayai digunakan suspek untuk menyerang mangsa di tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Polis masih menyiasat motif perselisihan faham antara mangsa dengan ibu suspek. Suspek mempunyai tiga rekod lampau melibatkan dua kes jenayah iaitu mencederakan menggunakan senjata dan ugutan serta satu kes melibatkan dadah.

"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh salur maklumat di balai polis berhampiran atau hubungi pegawai penyiasat di talian 04-866222 atau 019-3545197," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!