Bayangan barisan terbaik Harimau Malaya

Pemain Harimau Malaya giat menjalani latihan sebagai persiapan mengharungi baki Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 3 pada Jun ini.
Pemain Harimau Malaya giat menjalani latihan sebagai persiapan mengharungi baki Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 3 pada Jun ini.
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe akan menurunkan barisan pemain terbaik yang juga kemungkinan bayangan kesebelasan utama ketika menentang Bahrain dalam aksi persahabatan terakhir di Stadium Nasional Bahrain, Riffa Jumaat ini.

Menurutnya, barisan kejurulatihan sedang mengenal pasti pemain yang sesuai dengan melihat tahap kecergasan dan permainan para pemain negara selepas mengharungi aksi ujian menentang Kuwait pada Ahad.

"Barisan jurulatih sedang menilai dan meneliti setiap pemain daripada segi tahap kecergasan dan daripada segi tahap permainan mereka adakah mereka boleh diturunkan untuk perlawanan menentang Bahrain nanti.

"Sudah tentu barisan yang diturunkan menentang Bahrain nanti adalah yang terbaik dan sudah bersedia untuk kempen kelayakan kali ini," katanya dalam sidang media secara maya pada Rabu.

Harimau Malaya mengharungi perlawanan ujian menentang Kuwait dan dibelasah 1-4 yang menyaksikan perlawanan tersebut digunakan Cheng Hoe untuk menilai tahap permainan dan menguji keserasian pemain.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe juga menjelaskan Bahrain mempunyai corak permainan yang lebih kurang sama dengan pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menjadi lawan pertama mereka pada aksi baki perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 3 pada Jun ini.

Justeru, beliau menyifatkan perlawanan menentang Bahrain itu menjadi penilaian terbaik dan jika mampu menandingi pasukan di ranking ke-99 dunia itu akan menjadi satu momentum terbaik buat Harimau Malaya.

"Saya rasa setiap pemain tahu dan inginkan keputusan yang baik kerana ia akan berikan keyakinan kepada diri mereka dan juga kepada pasukan. Keputusan yang negatif sedikit sebanyak boleh jejaskan moral dan mental pemain.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi, saya percaya rata-rata pemain dah mempunyai pengalaman bermain di pentas antarabangsa dan setiap pemain dah bersedia untuk melawan Bahrain. Namun, apa yang paling penting adalah Bahrain ini mempunyai corak permainan yang sama seperti UAE.

"Jika kita dapat serap serangan dan cuba menembusi pertahanan Bahrain, maka saya rasa kita sudah boleh bersedia untuk menentang UAE dan menggunakan corak perlawanan itu nanti," katanya.

Dalam masa sama, Cheng Hoe turut menjelaskan semangat pemain sudah pulih sepenuhnya selepas dibelasah Kuwait dengan menyedari beberapa kelemahan perlu diperbaiki sebelum aksi berdepan Bahrain.

"Kekalahan itu menjadi pengajaran buat pemain apatah lagi kita sudah lama tidak bermain. Saya mahu pemain mempunyai keyakinan tinggi ketika menentang Bahrain selain beraksi dalam satu pasukan dengan baik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!