Budaya main peranan penting

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

AIDILFITRI tahun ini merupakan sambutan kali kedua disambut dalam suasana suram akibat pandemik Covid-19 yang terus membelenggu seluruh dunia.

Balik kampung, bersalaman di pagi raya, ziarah-menziarah dan aktiviti lain yang selama ini menjadi budaya di Malaysia, tidak dapat diraikan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0), yang dilaksanakan.

PKP 1.0 diisytiharkan di Malaysia pada 18 Mac tahun lalu. Sejak itu pelbagai variasi PKP telah dikuatkuasakan oleh kerajaan. Namun, sejak akhir-akhir ini, jumlah jangkitan terus meningkat hampir mencecah setengah juta kes.

Penulis amat tertarik dengan pemerhatian oleh seorang rakyat Malaysia, Mohamad Aiman yang kini menetap di New Zealand mengenai langkah-langkah mencegah penularan Covid-19 di negara itu. Kesemua langkah yang diambil kerajaan New Zealand hampir sama dengan negara-negara lain.

Penutupan sempadan, sekatan pergerakan, penutupan sekolah dan lain-lain institusi kecuali perkhidmatan-perkhidmatan perlu. Penjarakan sosial adalah antara langkah-langkah tegas yang telah dijalankan kerajaan New Zealand.

Perintah pentadbiran yang dilaksanakan tersebut walaupun mencengkam kebebasan rakyat dan memberi kesan negatif terhadap ekonomi negara, namun bantuan yang diberikan oleh kerajaan dapat meringankan rakyat.

Apa yang menarik adalah penyataan Aiman bahawa New Zealand mengguna pakai prinsip integriti dalam usaha mereka melawan Covid-19.

Dari awal, setiap peraturan yang diperkenalkan mengambil kira setiap aspek governans agar peraturan tersebut dapat diterima secara total oleh setiap lapisan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Masyarakat terkesan apabila pergerakan disekat, kedai dan pejabat ditutup, perusahaan tidak beroperasi, namun semuanya dapat diterima oleh orang ramai apabila mereka dapat melihat hasil yang memberangsangkan dan kembali seperti sediakala selepas beberapa ketika melalui PKP.

Peraturan-peraturan yang diperkenalkan adalah menyeluruh, jelas dan disebarkan melalui semua saluran media sama ada konvensional ataupun media sosial.

Budaya masyarakat New Zealand yang menitikberatkan pematuhan peraturan dan undang-undang menyebabkan penguatkuasaan tidak menjadi isu besar di negara tersebut.

Semua penduduk, tanpa mengira status dan kedudukan, tidak terkecuali daripada peraturan melawan Covid-19. Tiada kluster kayangan atau kluster bawahan.

Sebagai contoh, bekas Menteri Kesihatan New Zealand dikenakan tindakan dan seterusnya meletakkan jawatan apabila beliau dan keluarga keluar beriadah semasa PKP berkuat kuasa.

Apabila layanan sama rata diberikan kepada semua, tanpa mengira status dan kedudukan, maka penguatkuasaan undang-undang tidak menjadi isu besar untuk dilaksanakan.

New Zealand telah mengadakan pilihan raya umum pada 17 Oktober lalu dengan 81.45 peratus pengundi telah keluar untuk mengundi.

Kesemua parti politik yang bertanding telah bersepakat untuk mengurangkan kempen secara terbuka dan bersemuka bagi memastikan risiko penyebaran Covid-19 dapat dikawal.

Begitu juga dengan Singapura, Korea Selatan dan Amerika Syarikat yang berjaya mengadakan pilihan raya tanpa menyebabkan penularan Covid-19 secara besar-besaran.

Malangnya, Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September lalu telah dikatakan sebagai penyebab kepada penularan Covid-19 yang lebih besar di seluruh negara.

Sebenarnya Covid-19 juga menguji daya kreativiti kita untuk menjalankan perkara wajib dengan inovasi yang lebih meluas. Cara yang paling mudah adalah dengan pengisytiharan darurat dan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri-negeri digantung.

Tetapi adakah Darurat boleh menjamin Covid-19 tidak menular dan pilihan raya tidak perlu diadakan bagi tempoh yang panjang? Kita harus mengadaptasi diri dengan keadaan di sekeliling dan bukan mengharapkan agar persekitaran berubah untuk menyesuaikan dengan kehendak manusia.

Integriti dalam semua aspek kehidupan, pentadbiran, penguatkuasaan, politik, sosial dan agama harus dititikberatkan.

Sekiranya semua lapisan masyarakat memegang kepada prinsip integriti sejagat, maka ancaman Covid-19 akan dapat dikurangkan dan kita semua dapat menjalankan kehidupan dengan norma yang baharu dengan lebih selesa.

*Amerul Muner Mohammad ialah mantan CEO Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!