'Saya bermain dengan hati untuk negara saya'
PEMAIN kacukan negara, Junior Eldstal berjanji akan melakukan yang terbaik sekiranya diberikan kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun ini.
Menurut Eldstal, dia berada pada tahap terbaik dan bersedia membantu Harimau Malaya mencipta kejayaan sekali gus mara ke peringkat seterusnya dalam perlawanan kelayakan itu.
"Kali terakhir saya bermain untuk Malaysia adalah lima tahun lalu. Jadi, ia satu perasaan yang bagus untuk kembali dalam pasukan kebangsaan dengan semangat baharu. Lagipun, karier sebagai seorang pemain bola sepak ini tidak lama. Ia satu peluang istimewa untuk bermain dengan pasukan kebangsaan.
"Untuk berada dalam kesebelasan utama, ia sepenuhnya atas pilihan coach Tan (Cheng Hoe). Namun, saya tekad berikan 100 peratus dalam latihan dan dalam perlawanan jika diberikan minit bermain selain perkara paling penting adalah saya bermain dengan hati untuk negara saya," katanya dalam sidang media secara maya pada Rabu.
Pemain kacukan Malaysia-Sweden itu kembali dipanggil menyertai Harimau Malaya selepas mempamerkan persembahan cemerlang bersama pasukan Chonburi FC yang beraksi di Liga Thailand.
Dalam pada itu, Junior turut optimis peluang negara untuk melangkah lebih jauh dalam aksi kelayakan kali ini walaupun sedar berdepan tugas sukar menentang pasukan Seprti UAE, Vietnam dan Thailand.
"Perlawanan persahabatan menentang Bahrain adalah perlawanan terbaik untuk kami mencabar diri sebelum perlawanan menentang UAE. Kita tahu Bahrain ini lebih kuat sedikit daripada UAE. Pesan saya jangan kita takut sangat dengan ranking Bahrain atau negara lain.
"Apa yang penting adalah kita percaya kemampuan pasukan dan fokus kepada kemampuan kita di atas padang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!