Kemalangan LRT tidak lucu

No Image Caption
A
A
A

[DIKEMAS KINI] Pada malam Isnin (24 Mei), dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) berlanggar sehingga mengakibatkan 64 orang penumpang terpaksa dimasukkan ke dalam hospital termasuk tiga orang yang perlukan sokong ventilator dan sekurang-kurangnya 149 orang yang lain cedera ringan.

Kita berdoa semua yang cedera akan selamat dan pulih. Di samping memberikan sokongan semangat, kita ingin lihat semua penumpang yang terlibat diberi ganti rugi yang setimpal.

Lebih penting lagi, kita perlu siasatan yang bebas dan mendalam untuk mengetahui punca dan mengambil iktibar supaya kemalangan sama boleh dielakkan pada masa akan datang.

Ini adalah kali pertama berlaku pelanggaran membabitkan LRT dalam masa 25 tahun ia mula beroperasi.

Apa terjadi kalau ini berlaku di negara lain? Tak perlulah lihat dunia barat. Lihat di negara-negara timur juga memadai.

Pada 25 April 2005, berlaku kemalangan melibatkan kereta api Jepun Barat (JR West) yang tersasar landasan sebelum stesen Amagasaki (dikenali sebagai Amagasaki derailment) sehingga mengakibatkan 107 terkorban dan 562 lain tercedera. Presiden syarikat JR West Takeshi Kakiuchi dengan serta-merta memohon maaf dan meletak jawatan lapan bulan kemudian.

Pada 7 Oktober 2020, terowong di antara dua stesen Mass Rapid Transit (MRT) di Singapura ditenggelami air selepas hujan lebat. Pengerusi SMRT, Seah Moon Ming memohon maaf dengan nada yang serius dan ikhlas.

Pada 2 April baru-baru ini, di Taiwan berlaku kemalangan kereta api yang menyebabkan 49 orang terkorban dan lebih 200 orang cedera. Seluruh negara itu berkabung. Perdana Menteri Taiwan, Su Tseng-chang memohon maaf disusuli dengan peletakan jawatan Menteri Pengangkutannya, Lin Chia-lung.

Artikel Berkaitan:

Namun apa yang berlaku di Malaysia?

Prasarana Malaysia Berhad yang mengendalikan operasi LRT mengadakan sidang medianya pada hari Isnin.

Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak dapat membuat laporan dan menjawab soalan wartawan dengan jelas tanpa bantuan pegawainya.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu bercakap seperti kemalangan yang berlaku hanyalah perkara remeh, kadangkala nada berjenaka, kadang-kala merajuk kerana kritikan orang awam.

Paling menakjubkan, dia sanggup mendakwa “keadaan itu normal... Cuma dua kereta ini bersama. Mereka berciuman,” kemudian bergelak seolah-olah itu sesuatu lucu!

Bukan saja kompeten sebagai pemimpin itu kekurangan, rasa peduli dan simpati sebagai insan juga tidak kelihatan.

Tajuddin kini menjadi tonggak pencapaian (milestone) kerajaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sememangnya, wakil-wakil rakyat tidak harus memegang syarikat milikan kerajaan (GLC). Apakah kelebihan mereka selain memberi talian hidup kepada sebuah kerajaan yang bagaikan telur di hujung tanduk?

Apakah pengalaman atau kepakaran yang Tajuddin ada tentang pengurusan LRT?

Kegagalan Tajuddin mengendalikan krisis ini membuktikan beliau tidak layak.

Satu petisyen #LetakJawatanTajuddin telah mencecah 100,000 dalam masa 20 jam. Rakyat Malaysia marah kerana nyawa dan keselamatan bukan untuk dijadikan sebagai bahan jenaka dan gelak ketawa.

Kalau Tajuddin enggan meletak jawatan, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mesti memecatnya.

Kalau Tengku Zafrul enggan memecat Tajuddin, maka Muhyiddin mesti memecat kedua-duanya. Kalau Tajuddin tetap berjenaka, rakyat tahulah siapa yang harus dipecat.

Sungai direntasi sang badak

Renang saja tidak perlu titi

Pantang amanah dijadikan dedak

Undur Tajuddin Selamat LRT

*Profesor Wong Chin Huat ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!