'Golongan bawah 60 tahun mahu divaksin segera’

Tempahan janji temu fasa kedua vaksin AstraZeneca ditutup secara rasmi pada jam 1.27 petang berikutan lebih 30,000 tempahan dibuat. Gambar kecil: Dr Mohd Dzulkhairi
Tempahan janji temu fasa kedua vaksin AstraZeneca ditutup secara rasmi pada jam 1.27 petang berikutan lebih 30,000 tempahan dibuat. Gambar kecil: Dr Mohd Dzulkhairi
A
A
A

SHAH ALAM - Kadar kenaikan kes harian Covid-19 secara mendadak dan membimbangkan menyebabkan golongan lingkungan 18 tahun hingga 60 tahun lebih peka terhadap keperluan mendesak mendapatkan suntikan vaksin.

Mereka terpaksa berebut ketika tempahan vaksin AstraZeneca dibuka sejak 12.15 tengah hari Rabu.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, kumpulan umur itu mahu melindungi diri dan keluarga kerana khuatir terhadap situasi kritikal penularan Covid-19 di negara.

“Jumlah kes Covid-19 semakin meningkat menyebabkan mereka mahu mendapatkan vaksin AstraZeneca sehingga tular di media sosial.

“Mereka juga panik dengan situasi sekarang. Sebab itu, masing-masing sangat perlukan vaksin berkenaan kerana mahu melindungi diri dengan segera,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, selain tempahan janji temu pengambilan vaksin AstraZeneca, vaksin lain juga perlu dibuka bagi mempercepatkan pemberian vaksin kepada orang ramai khususnya kepada golongan yang berisiko tinggi.

Antara petugas barisan hadapan yang menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech ketika tinjauan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di KPJ Selangor Specialist Hospital Seksyen 21 Shah Alam. - Foto: Bernama
Antara petugas barisan hadapan yang menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech ketika tinjauan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di KPJ Selangor Specialist Hospital Seksyen 21 Shah Alam. - Foto: Bernama

“Amat wajar sekiranya kerajaan mendahulukan golongan yang berumur 60 tahun ke atas kerana mereka mudah dijangkiti dan akan menerima komplikasi yang teruk serta menyebabkan kematian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Mohd Dzulkhairi berkata, bagi individu yang belum berjaya mendaftar penerima vaksin dinasihatkan supaya terus mengekalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kita perlu menjaga kebersihan diri, penjarakan fizikal dan wajib memakai pelitup muka. Lagi bagus kalau kita mengikuti saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah iaitu memakai dua lapis pelitup muka.

Pada Rabu, tempahan janji temu fasa kedua vaksin AstraZeneca yang dibuka pada jam 12.15 tengah hari ditutup secara rasmi pada jam 1.27 petang berikutan lebih 30,000 tempahan dibuat.

Pada 25 Mei, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sebanyak 1,261,600 dos diperuntukkan untuk fasa kedua melibatkan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

Katanya, pemberian vaksin AstraZeneca pusingan kedua itu melibatkan empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu di Pulau Pinang, Johor dan dua di Sarawak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!