City ada ramuan rahsia benam Chelsea
MANCHESTER City optimis mampu membenam Chelsea ketika membuat perhitungan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Estadio do Dragao di Portugal pada Ahad ini.
Pemain pertahanan City, Ruben Dias berkata, pengalaman tewas dua kali kepada Chelsea musim ini sudah cukup memberikan pengajaran kepada City dan akan bangkit dengan corak permainan lebih berkualiti untuk menumpaskan The Blues.
"Ia akan menjadi sesuatu yang bagus kerana kami mengenali antara satu sama lain. Oleh sebab kami telah tewas dua perlawanan kepada mereka, jadi kami mungkin mempunyai 'senjata' untuk berdepan mereka.
"Kami juga tidak fokus kepada seorang pemain sahaja dalam pasukan Chelsea kerana mereka kuat bukan sebab seseorang individu sebaliknya kerjasama dalam pasukan.
"Mereka mempunyai ramai pemain bagus seperti kami dan kedua-dua pasukan sangat kuat. Ia akan menjadi satu perlawanan yang menarik," katanya.
Perjalanan City dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini cemerlang dengan rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan termasuk menundukkan pasukan gergasi Perancis, Paris Saint Germain di tempat sendiri dan di tempat lawan dalam saingan separuh akhir.
Namun, Dias menjangkakan perlawanan sukar bakal dihadapi pasukannya ketika menentang Chelsea berbeza dengan apa yang sudah dilalui mereka sepanjang saingan Liga Juara-Juara musim ini.
"Kami telah bersedia untuk menghadapi cabaran Chelsea. Kami berada dalam keadaan baik dan kami juga gembira dengan apa yang telah kami capai musim ini, tetapi sudah tentu Liga Juara-Juara sesuatu yang sangat istimewa.
"Kami mahukan trofi Liga Juara-Juara kerana setiap orang mengimpikan untuk memenanginya. Kami berjuang bermati-matian untuk berada di peringkat ini dan sudah tentu kami tidak akan persiakan peluang ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!