Penamatan khidmat Tajuddin bukti kerajaan bertegas
IPOH - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Perak menyifatkan penamatan perkhidmatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana adalah bukti ketegasan kerajaan.
Ketua Armada negeri, Muhammad Faizul Mohamed Ismail berkata, ia melambangkan kerajaan tidak berkompromi dengan kalangan pemimpin yang tidak menghormati sensitiviti rakyat dan tidak mengamalkan sikap profesional semasa menjalankan tugas.
Menurutnya, Ahli Parlimen Pasir Salak itu antara pemimpin lama dalam UMNO dan paling lantang menyuarakan pandangan berkaitan isu rakyat.
"Bagaimanapun tatacara pengendalian soal jawab pada sidang media mengenai kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) pada Selasa lepas langsung tidak mencerminkan sikap pemimpin yang diberi amanah mewakili kepentingan rakyat.
"Maka, tindakan kerajaan menamatkan perkhidmatan beliau adalah suatu tindakan tepat dan pantas juga bukti tindakan tegas yang telah diambil kerajaan terhadap pemimpinnya," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Khamis.
Beliau berkata, cara menjawab yang semberono dan tidak prihatin yang dipamerkan pemimpin itu pada sidang media terbabit telah menyebabkan sebahagian besar rakyat Malaysia terkesan.
Malah katanya, sindiran berbaur perkauman yang ditunjukkan kepada seorang wartawan Phoenix Tv dari China, telah secara langsung memberikan tanggapan buruk akan tahap profesionalisme wakil kerajaan menangani insiden nahas yang melibatkan nyawa orang awam.
"Semoga peristiwa ini menjadi pengajaran buat semua pemimpin di negara ini dan harapan kita agar peristiwa sama tidak lagi berulang," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:Tajuddin ucap 'terima kasih'
ARTIKEL BERKAITAN: Perkhidmatan Tajuddin sebagai Pengerusi Prasarana ditamatkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!